Raja Petra Diambil Keterangan Di Bangkok Atas Permintaan Bukit Aman

Diterbitkan: Ahad, 24 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar pada Sabtu mengesahkan bahawa pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) telah dipanggil memberi keterangan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand.

Khalid berkata keterangan itu diambil oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman yang ditugaskan untuk bertemu RPK di negara itu.

Beliau berkata keterangan itu diambil selepas satu laporan polis yang dibuat oleh Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengenai pengakuan RPK bahawa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Kita yang meminta beliau untuk memberi keterangan dan beliau bersetuju untuk membantu pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini.

Walaubagaimanapun, Khalid berkata RPK tidak ditahan setelah memberi keterangan berkenaan.

"Tiada sebab untuk kita menahan beliau kerana beliau telah berikan kerjasama dalam memberi keterangan," katanya.

Difahamkan RPK yang juga Pengerusi Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) berada di Bangkok sempena majlis pelancaran pergerakan berkenaan di negara itu, telah diambil keterangan malam tadi kira-kira pukul 8 malam waktu Thailand (9 malam waktu Malaysia). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan