Arab Saudi Jadikan Disiplin Tinggi Jemaah Haji Malaysia Kayu Ukur- Jamil Khir

Diterbitkan: Ahad, 24 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Disiplin tinggi jemaah haji Malaysia mendapat pujian kerajaan Arab Saudi sehingga dijadikan kayu pengukur disiplin jemaah dari seluruh dunia yang datang ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata sanjungan Arab Saudi terhadap jemaah Malaysia seharusnya dipupuk dan dipelihara sepanjang masa oleh setiap pihak yang berkaitan.

"Oleh itu jemaah dan syarikat-syarikat pengendali pakej haji tidak harus mengambil kesempatan melanggar peraturan pada musim haji untuk kepentingan diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali ke-34 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Kedah di sini, Ahad.

Beliau berkata Arab Saudi memantau pergerakan jemaah dan setiap kesalahan yang dikesan akan ditegur dalam pertemuan dengan Menteri Haji negara itu setiap tahun, dan menurutnya beliau akan berlepas ke Arab Saudi pada 1 Mei ini untuk menemui Menteri Haji.

"Apabila pulang nanti saya akan bermesyuarat dengan syarikat-syarikat pengendali haji serta Tabung Haji (TH) bagi menyampaikan teguran kerajaan Arab Saudi supaya mereka tidak melanggar peraturan walaupun didesak jemaah untuk memenuhi kepentingan mereka," tambahnya. Jamil berkata antara pelanggaran peraturan yang kerap dikesan ialah tidak mengikut laluan yang ditetapkan kerana hendak mencari jalan senang selain tidak mematuhi jadual perjalanan terutama semasa kemuncak haji.

Mengenai pendeposit TH yang mencecah tujuh juta orang, beliau berkata trend itu meningkat 10 peratus sejak 2007 hasil program Kelab Taha, yang menggalakan kanak-kanak menyimpan dalam TH, bermula dengan hanya RM2.

"TH adalah antara agensi yang mengeluarkan dividen tertinggi, sebanyak 5.5 peratus. Jika dicampur dengan zakat 2.5 peratus, jumlahnya adalah lapan peratus. Bank pun tidak boleh bayar sebanyak ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan