Stesen Komuter Senawang, Sungai Gadut Mula Operasi Bulan Depan

Diterbitkan: Sabtu, 23 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Stesen komuter baru di Senawang dan Sungai Gadut, Negeri Sembilan yang merupakan sebahagian daripada Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik (PLBE), akan beroperasi pertengahan bulan depan.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan stesen komuter KTMB meningkat kepada 53 buah.

"Ini adalah peringkat pertama dalam PLBE yang sudah diselesaikan dengan keseluruhan projek ini dijangka siap pada 2014," katanya pada sidang media selepas pelancaran KTM Komuter Run 2011 oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di sini hari ini.

PLBE merupakan projek bernilai RM3.45 bilion yang melibatkan laluan Seremban-Gemas sejauh 98.116 kilometer merentasi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Pada majlis itu KTMB turut memperkenalkan sistem tiket 1RM (1 Rakyat Malaysia) bagi warga emas, Orang Kelainan Upaya dan pelajar sekolah yang berpakaian seragam.

Mengulas sistem tiket 1RM itu, Aminuddin berkata tiket yang berharga RM1 tersebut akan dijual mulai 1 Mei ini di 51 kaunter komuter KTMB dan kepada 100 pengguna pertama setiap hari.

"Tujuannya (pengenalan tiket 1RM) untuk menyahut seruan kerajaan melalui konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Tiket untuk satu hala ini akan dijual dari 6 pagi hingga 6 petang," katanya.

Selain itu, Aminuddin berkata KTMB akan memperkenalkan konsep tiket bersepadu menerusi pemasangan sistem Kutipan Tiket Automatik (AFC) baru seperti yang dilaksanakan Rapid KL.

"Dengan sistem baru ini, mereka yang menggunakannya boleh beralih dari satu sistem pengangkutan ke pengangkutan lain dengan mudah," katanya.

AFC masih dalam proses reka bentuk dan pemasangannya dijangka mengambil masa antara 12 hingga 15 bulan sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga tidak menolak peningkatan harga tiket ekoran daripada pengenalan konsep tiket bersepadu itu.

"Kita telah membelanjakan hampir RM2 bilion untuk projek ini.Jadi apabila perkhidmatan ini bertambah baik, kita perlu mengkaji balik tambang (KTMB)," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan