K'jaan Tidak Akan Kompromi Projek Yang Jejaskan Keselamatan Rakyat: Najib

Diterbitkan: Sabtu, 23 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan projek-projek yang dilihat boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai projek yang diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, Najib berkata satu panel bebas yang akan dianggotai pakar akan membuat kajian berhubung soal keselamatan dan kesan kilang berkenaan.

"Kita telah putuskan, pertamanya kita tak akan kompromi dari segi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan kesihatan rakyat kita letak sebagai keutamaan yang tertinggi, bukan faktor kita hendakkan projek itu, tidak...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Pahang, di sini.

Najib berkata, panel berkenaan akan diberi tempoh sebulan untuk membuat kajian berhubung perkara berkenaan sebelum membuat laporan.

"Projek itu mestilah tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang selaras dengan prinsip ini, maka kita akan menubuhkan 'panel of expert', pakar-pakar yang sangat mahir dalam bidang yang berkaitan dengan projek Lynas ini untuk mengkaji segala aspek dalam sebulan ini.

"Mereka akan mengeluarkan laporan, berdasarkan laporan ini kerajaan akan mengeluarkan keputusan muktamad," kata Najib. Perdana Menteri berharap semua pihak bertenang dan memberi peluang kepada panel itu untuk membuat kajian terperincinya.

"Apa yang patut dilakukan berdasarkan prinsip utama, bahawa kesihatan dan keselamatan rakyat tak akan dikompromi, kita juga tak akan benarkan (kilang itu) pra-operasi sehingga keputusan muktamad dibuat," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu panel bebas ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kilang itu yang diharap dapat meredakan kebimbangan penduduk Kuantan dan menjelaskan keadaan sebenar kepada mereka yang mempolitikkan isu berkenaan.

Mustapa berkata, tiada lesen pra-operasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA). Kilang bernilai RM700 juta yang sedang dibina di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Beberapa siri penerangan yang dianjurkan oleh LPTA dan kerajaan negeri di sekitar Kuantan baru-baru ini dilihat tidak memberi kesan positif. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan