SIRIM Bangunkan Industri Cuka Di Makassar

Diterbitkan: Jumaat, 22 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sirim Bhd telah memperkenalkan teknologi penghasilan cuka asli kepada komuniti di Makassar, Sulawesi Selatan yang seterusnya akan membantu usaha membangunkan industri cuka di wilayah Indonesia itu.

Menurut satu kenyataan Sirim yang dikeluarkan Rabu, projek yang menggunakan aplikasi teknologi fermentasi untuk menghasilkan cuka dari nira pokok palma Aren itu dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian Sirim.

Projek itu mendapat sokongan peruntukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta kerjasama dari Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar.

Menurut Sirim, Loji Pandu Cuka Aren yang dibangunkan Sirim di daerah Bantaeng mampu menghasilkan sehingga 200 liter sehari produk cuka jernih.

Jelas Sirim, projek itu merupakan antara program kerjasama MOSTI-Ujung Padang yang dimeterai ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Ujung Padang, Makassar pada November 2009, yang bertujuan menjalin usahasama dua negara itu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

"Pelancaran dan penyerahan tauliah projek berkenaan kepada UNHAS telah dilakukan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada satu majlis di Makassar, Indonesia, hari ini serta turut dihadiri oleh Pengerusi SIRIM Berhad Datuk Hajah Jamaliah Kamis," kata kenyataan itu.

Sirim menjelaskan, pokok palma Aren banyak ditanam di daerah Bantaeng, Sulawesi Selatan dengan jumlah produktiviti 128,650 batang pokok di kawasan seluas 2,573 hektar di mana menurut kajian UNHAS, cuka dan wain Aren dikenal pasti berpotensi untuk dipasarkan di negara-negara seperti Jepun, Portugis dan Sepanyol.

Sebelum pembangunan industri cuka dicadangkan, nira pokok Aren telah pun diproses secara tradisional dan kecil-kecilan oleh petani di kawasan berkenaan sebagai gula perang.

Sirim juga menjelaskan, latihan teknikal untuk pemindahan teknologi penghasilan cuka turut diberikan kepada usahawan tempatan selain membantu usahawan dalam aspek pelabelan dan pembungkusan produk.

Sementara itu, menurut Sirim, Dr Maximus ketika melancarkan projek berkenaan berkata kerjasama sebegini bukan hanya bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, ia juga bagi menggalakkan pemindahan teknologi dari MOSTI.

Dr Maximus telah turut mengumumkan peruntukan RM385,000 dari MOSTI untuk kerjasama SIRIM-UNHAS itu.

Projek lain di bawah kerjasama SIRIM-UNHAS termasuk aplikasi teknologi pembungkusan dan pelabelan untuk pengusaha rumpai laut dan madu asli, serta program pembangunan untuk usahawan madu asli.-BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan