Status Sesebuah Negara Bukan Jaminan Untuk Kekal Berjaya - Najib

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata status sesebuah negara itu bukan jaminan untuk mereka kekal berjaya jika dasar kewangan dan ekonomi tidak diurus dengan baik.

"Meskipun sesebuah negara itu sudah diiktiraf sebuah negara maju, (ia) tidak menjamin bahawa negara itu tidak boleh terjerumus sebagai sebuah 'failed state' atau negara yang boleh dikatakan gagal daripada segi menguruskan ekonomi dan dasar kewangan dengan baik," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di sini, Khamis.

Katanya apabila sesebuah negara itu tergolong dalam kategori negara yang gagal, maka ia akan kehilangan maruah kerana terpaksa menagih bantuan kewangan daripada institusi-institusi kewangan antarabangsa.

"Ini akan mengakibatkan ketidaktentuan daripada segi dasar domestik yang akan membawa kepada beban yang berat kepada rakyat negara tersebut," katanya.

Memberi contoh negara seperti Greece, Ireland, Sepanyol dan Portugal yang menghadapi masalah akibat dasar kewangan dan ekonomi yang gagal diurus dengan baik, Perdana Menteri berkata keadaan itu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menanganinya.

"Akibatnya, timbul kegelisahan di kalangan rakyat negara tersebut apabila terpaksa terikat dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh badan-badan antarabangsa," katanya.

Najib berkata bagi memastikan Malaysia tidak menghadapi masalah seumpama itu, kerajaan sudah menentukan pelan hala tuju dan landasan yang cukup jelas berpaksikan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Katanya pelbagai dasar, program dan projek antaranya, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah dirangka supaya Malaysia terus berjaya, dan agar harapan menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, menjadi kenyataan.

"Kita telah lama memperjuangkan apa yang kita rasakan amat penting untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat dan maruah negara," katanya.

Tahun lepas, Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2 peratus dan, menurut Perdana Menteri, cabaran sekarang ialah menentukan pertumbuhan itu berada pada kadar tidak kurang enam peratus setiap tahun.

Cabaran berikutnya, kata beliau, ialah menjaga kadar inflasi negara supaya dapat dikawal pada tahap serendah mungkin kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan rakyat menanggung kesusahan dan beban hidup yang lebih berat.

"Kita juga mempunyai matlamat induk lain yang mana kita hendakkan supaya kekayaan negara dan pertumbuhan yang baik dan mampan dapat diagihkan secara seimbang, dan dapat menentukan keadilan sosial di samping prinsip keterangkuman atau insklusif diberikan perhatian dalam menentukan bahawa apa sahaja perkembangan ekonomi negara dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penganugerahan pensijilan MS ISO 9001:2008 oleh Sirim kepada Perbendaharaan Malaysia serta melancarkan kempen "Amalan Senyuman Perbendaharaan".

Pensijilan MS ISO 9001:2008 itu melibatkan Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Bahagian Analisa Cukai, Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari, Bahagian Kawalan dan Pemantauan, Bahagian Pengurusan Kewangan Strategik, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat serta Unit Komunikasi Korporat.

Bagi kempen "Amalan Senyuman Perbendaharaan", Najib berkata kempen dengan slogan "Senyum Selalu" itu, akan berlangsung selama dua bulan.

Katanya kempen itu amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa disenangi dan memuaskan hati rakyat dan pelanggan keseluruhannya.

"Senyuman adalah amalan sedekah yang paling mudah untuk dilaksanakan sebagaimana sunnah Nabi Muhammad S.A.W." kata Perdana Menteri. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Kolumnis

iklan

Iklan