Siasatan Kematian Mengejut Ahmad Sarbani Sudah Lengkap

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung laporan kematian mengejut (SDR) pegawai kastam Ahmad Sarbani Mohamed, dan kertas siasatan akan diserah kepada pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya minggu ini atau minggu hadapan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jabatan kimia merumuskan bahawa punca kematian pegawai kastam itu pada 6 April lepas adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Ditanya sekiranya wujud unsur jenayah dalam kejadian di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah di Jalan Cochrane itu, beliau berkata siasatan masih tertumpu kepada SDR dan tiada peruntukan undang-undang lain yang digunapakai.

Beliau meminta supaya segala spekulasi mengenai kejadian itu dihentikan kerana siasatan di bawah SDR sudah dilengkapkan dan terpulang kepada pihak Peguam Negara sekiranya merka hendak mengambil tindakan lanjut.

"Saya berpuas hati dengan hasil siasatan ini, kami sudah peroleh laporan lengkap termasuk segala bukti, keterangan dari 48 saksi dan lakonan semula di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Pasukan Kor Kadet Polis ke-41 di Tasik Titiwangsa di sini.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan pejabat SPRM itu setelah dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Terdahulu dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur Mohd Adenan Deraman hari ini Zulkifli berkata, kor kadet polis menjadi pemangkin kepada remaja untuk tidak melibatkan diri dalam salahlaku pelajar, masalah disiplin dan jenayah ketika meningkat dewasa.

"Kalau hendak kekalkan disiplin remaja, penglibatan diri dalam kor kadet polis dan unit beruniform lain dapat membantu mereka membentuk sahsiah diri yang baik. Jadi ketika dewasa mereka tidak terjebak kepada masalah sosial," katanya.

Beliau berkata statistik jenayah indeks turun 10 peratus bagi tahun ini berbanding tahun lepas dan jenayah jalanan pula turun 21 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu Mohd Adenan berkata cabaran bagi pelajar di kawasan bandaraya adalah sangat tinggi dari segi pembentukan sahsiah diri dan disiplin, oleh itu penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mendidik mereka menjadi pelajar yang berdisiplin. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan