Cadangan Supaya Diwujudkan Bank Wanita Diteruskan, Kata Shahrizat

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan bank wanita bagi membantu usahawan-usahawan wanita di semua sektor.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata walaupun kerajaan ketika ini beranggapan penubuhan bank itu bukan keperluan mendesak, pihaknya tidak akan berputus asa sehingga matlamat itu tercapai.

"Saya sebenarnya sudah pohon beberapa kali kepada pucuk pimpinan (Perdana Menteri) sebelum ini, tetapi jawapan yang diberikan ialah ketika ini kerajaan merasakan belum tiba masa untuk bank itu diwujudkan kerana konsep perniagaan adalah konsep yang terbuka untuk semua.

"Tetapi, oleh kerana belum diwujudkan bank untuk wanita ini, kami di kementerian tidak akan berputus asa dalam usaha ini dan akan terus mendesak untuk meminta supaya ia ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Senator Mumtaz Md Nawi, yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang mewujudkan bank wanita, pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Shahrizat berkata daripada pemerhatiannya, bank wanita perlu ditubuhkan kerana beliau mendapati ada kaum wanita yang berniaga ataupun ingin membuat pinjaman merasa tidak selesa untuk pergi kepada bank-bank sedia ada yang mungkin tidak mesra wanita atau mesra keluarga.

Beliau berkata sehingga cadangan itu menjadi kenyataan, pihaknya berharap Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dapat memainkan peranan menjadi bank tidak rasmi untuk wanita, terutama kepada mereka yang mahu membuat pinjaman perniagaan.

Menjawab soalan asal Senator Ahmad Rusli Iberahim berkenaan usaha-usaha kerajaan membantu menambah pendapatan suri rumah khususnya ibu tunggal Shahrizat berkata, kementerian menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program Inkubator Kemahiran Wanita (I-KIP).

Beliau berkata program itu menawarkan peluang kepada mereka yang berminat dengan dunia keusahawanan untuk dilatih dan dibimbing dalam enam bidang kemahiran seperti, seni jahitan, terapi kecantikan, masakan komersil, kraftangan, asuhan kanak-kanak dan pelancongan.

"Sejak 2008 hingga 2010, seramai 1,699 ibu tunggal dilatih di mana 132 menjadi usahawan, dan selebihnya menjalankan perniagaan dari rumah atau berjaya mendapatkan pekerjaan berbekalkan kemahiran yang diperolehi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan