Akademi Peruncitan Bakal Ditubuh Latih Pekerja Sektor Peruncitan

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Akademi Peruncitan bakal ditubuhkan tidak lama lagi bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja sektor peruncitan untuk memastikan perkembangan sektor itu menjadi lebih dinamik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata akademi itu yang telah ditubuhkan dengan kerjasama kementerian dan Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Ekonomi Baru.

"Di bawah ETP, sektor pemborongan dan peruncitan dikenal pasti berupaya menyumbang sebanyak RM165 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar menjelang 2010 serta menyediakan 370,000 peluang pekerjaan baru dalam tempoh 10 tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) di sini, Khamis.

Sektor peruncitan dan pemborongan juga merupakan antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang diberi tumpuan utama bagi gerakan koperasi selain sektor penting lain seperti perkhidmatan kewangan, pelancongan kesihatan, pertanian dan industri asas tani.

Ismail Sabri berkata penubuhan institusi khas itu juga bertepatan dengan pendekatan Model Baru Ekonomi yang menitikberatkan soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan bagi memastikan tahap intelek, kompetensi dan kecekapan pekerja yang sesuai dengan status negara berpendapatan tinggi yang ingin dicapai pada 2020.

"Objektif penubuhan akademi ini adalah menyediakan kemudahan latihan formal dan praktikal kepada pekerja kedai runcit sama ada swasta milik persendirian atau koperasi," katanya.

Ismail Sabri berkata pada masa ini tiga kursus telah dikena lpasti oleh MKM iaitu Kursus Pengurusan Pasar Mini, Kursus Pengurusan Restoran dan Katering serta Kursus Pengurusan Pelancongan.

"Kursus-kursus yang ditawarkan di sini memang mempunyai kaitan dengan penekanan dalam NKEA dan projek-projek di bawah NKEA. Sebab itu kita harap lepasan kursus ini apabila keluar akan mendapat kerja di bidang-bidang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berharap lebih ramai golongan profesional diberi peluang untuk menguruskan koperasi bagi meningkat kepercayaan rakyat terhadap pergerakan itu.

Katanya apabila koperasi diuruskan oleh golongan profesional dan dengan adanya undang-undang ketat yang mengawal pergerakan itu, orang ramai akan lebih yakin untuk melibatkan diri ataupun melabur di dalam koperasi berkenaan.

"Bila koperasi ditadbir secara profesional, oleh golongan profesional dan dengan adanya undang-undang ketat, bermakna jika ada koperasi yang melakukan kesalahan, tindakan diambil, orang akan rasa pergerakan koperasi ini betul-betul serius," katanya.

Katanya peningkatan minat masyarakat awam untuk melabur di dalam saham koperasi telah menunjukkan kepercayaan mereka pada koperasi berbanding sebelum ini dimana ramai yang memperlekeh pergerakan koperasi.

"Sekarang ada koperasi besar yang mampu beri dividen yang tinggi kepada ahli setiap tahun seperti Bank Rakyat mampu beri 15 peratus, Bank Persatuan 10 peratus, Koperasi Felda lebih 10 peratus, jadi orang nampak bahawa koperasi ini mempunyai masa depan," katanya.

"Baru-baru ini apabila Bank Rakyat membuka saham baru bernilai RM1 bilion, semua orang hendak beli saham Bank Rakyat hingga ada yang persoal kenapa saham yang ditawar dihad kepada RM500 untuk ahli baru, sedangkan dahulu tidak ada orang hendak beli saham Bank Rakyat, itu keyakinan semakin tinggi," katanya.

Pada majlis itu seramai 107 pelajar lulusan Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Profesional Pengauditan Koperasi dan Sijil Pengurusan Koperasi menerima penganugerahan, peningkatan bilangan graduan sebanyak 123 peratus berbanding tahun lepas.

Ismail Sabri berkata kursus-kursus yang ditawarkan oleh MKM mampu melahirkan graduan yang terlatih dengan ilmu koperasi dan wajar diberi ruang sebagai tenaga kerja dalam koperasi mahupun sebagai golongan pelapis dalam mentadbir koperasi supaya mereka dapat bersama-sama menyumbang ke arah kemajuan gerakan koperasi amnya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan