Lebih Tiga Juta Penduduk Terima Rawatan Di Klinik 1Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 20 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih tiga juta penduduk kawasan bandar dan pinggir bandar sudah mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan di 80 buah Klinik 1Malaysia sejak dilancarkan awal tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jumlah itu antara lain meliputi 524,000 pesakit yang mendapatkan rawatan di 27 Klinik 1Malaysia yang memulakan operasi tahun ini.

"Klinik 1Malaysia diwujudkan pada Januari 2010 bagi tujuan memudahkan masyarakat mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan bandar.

"Pelanggan Klinik 1Malaysia tidak akan menunggu lama untuk mendapatkan rawatan penyakit ringan seperti batuk, demam dan selesema di mana sehingga 17 April 2011, sebanyak 3,475,151 kedatangan pesakit telah dilaporkan termasuk 524,000 kedatangan di 27 Klinik 1Malaysia yang beroperasi tahun ini," katanya menjawab soalan Senator Pau Chiong Ung pada persidangan Dewan Negara di sini, Rabu.

Pau ingin tahu jumlah Klinik 1Malaysia yang telah didirikan di seluruh negara, kesannya kepada rakyat sejak dilancarkan dan jumlah klinik bergerak yang beroperasi di Sarawak.

Rosnah berkata berikutan sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat, kementerian itu bercadang untuk menubuhkan 25 lagi klinik itu tahun ini dengan kriteria penubuhannya masih sama iaitu, diwujudkan di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti kawasan perumahan di mana penduduknya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Setakat ini, katanya Johor mempunyai bilangan Klinik 1Malaysia terbanyak iaitu sembilan, diikuti Selangor (lapan), Pulau Pinang, Perak dan Sarawak (tujuh), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan (enam), Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah (lima), Melaka dan Terengganu (empat) dan masing-masing sebuah di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata pembinaan Klinik 1Malaysia kurang sesuai bagi kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di kawasan perkampungan Orang Asli memandangkan skop perkhidmatan yang diberikan adalah terbatas kepada rawatan kuratif dan penyakit ringan sahaja.

"Keperluan kesihatan masyarakat luar bandar dipenuhi oleh klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan menyeluruh termasuk perkhidmatan preventif, kuratif dan rehabilitatif," katanya.

Rosnah berkata bagi penduduk luar bandar dan pedalaman kerajaan menyediakan perkhidmatan klinik bergerak sebagai alternatif sementara sebelum klinik kesihatan statik disediakan.

Beliau berkata sebanyak 171 pasukan klinik bergerak aktif beroperasi memberikan perkhidmatan kesihatan preventif dan kuratif kepada penduduk dan masyarakat yang tinggal jauh di kawasan pedalaman meliputi 60 pasukan di Semenanjung, 13 di Sabah dan 98 di Sarawak.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Maijol Mahap mengapa kerajaan menganggap kawasan pedalaman tidak sesuai untuk diadakan Klinik 1Malaysia, Rosnah berkata semangat di sebalik penubuhan Klinik 1Malaysia tujuannya adalah untuk mengurangkan beban yang ditampung oleh klinik-klinik kesihatan dan hospital dari segi rawatan penyakit ringan seperti batuk, demam dan selsema.

"Perkhidmatan untuk penduduk luar bandar telah disediakan melalui fasiliti-fasiliti lain seperti klinik desa dan klinik kesihatan yang telah ditubuhkan disemua kawasan-kawasan ini (luar bandar)," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan