Tujuh Wanita Berjaya Anggotai Dewan Undangan Negeri Sarawak

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Tujuh calon wanita berjaya menganggotai Dewan Undangan Negeri Sarawak selepas mengetepikan lawan masing-masing dalam pilihan raya negeri ke-10 yang berakhir Sabtu.

Terdapat 16 calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya itu yang mewakili pelbagai parti selain bertanding atas tiket Bebas.

Empat penyandang daripada Barisan Nasional (BN) - Datin Fatimah Abdullah (Dalat), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Semariang), Simoi Peri (Lingga) dan Rosey Yunus (Bekenu) - berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.

Fatimah, 54, memenangi kerusi DUN Dalat dengan majoriti 4,990 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Fatimah, yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), merupakan satu-satunya menteri wanita dalam Kabinet negeri sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Penyandang DUN Semariang, Sharifah Hasidah, 42, mengekalkan kerusi DUN Semariang dengan majoriti 5,431 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang Zulrusdi Mohamad Hol daripada PKR.

Simoi, 47, mempertahankan kerusi DUN Lingga, dengan majoriti 2,506 undi dalam pertandingan tiga penjuru manakala Rosey, 55, daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) memenangi kerusi DUN Bekenu dengan majoriti 3,714 undi dalam pertandingan empat penjuru.

DAP membariskan empat wanita -- Violet Yong bagi DUN Pending dan Ting Tze Fui (Meradong) serta dua muka baru Alice Lau Kiong Yieng di Bawang Assan dan Christina Chiew (Batu Kawah).

Yong, 34, mengalahkan pakar kardiologi Prof Dr Sim Kui Hian daripada BN bagi kerusi DUN Pending dengan majoriti 7,595 undi manakala Ting, 30, pula menewaskan Ling Kie King daripada SUPP dalam pertandingan satu lawan satu.

Muka baru daripada DAP, Christina Chiew Wang See, 27, yang berkelulusan Sarjana dalam biokimia melakukan kejutan besar apabila beliau mengalahkan Tan Joo Phoi, yang sebelum ini merupakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Chiew, calon termuda DAP dalam pilihan raya itu, memenangi kerusi DUN Batu Kawah dengan majoriti 543 undi. Lau, 29, seorang ahli farmasi, pula gagal merampas kembali kerusi DUN Bawang Assan, apabila kalah kepada tokoh veteran daripada SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh dengan majoriti 1,808 undi.

Lau, anak perempuan pemimpin Cina terkemuka dan Presiden Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu, Lau Cheng Kiong, adalah calon wanita kedua yang dipertaruhkan oleh parti itu untuk bertanding buat julung kali dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, pemilik kedai runcit di Mukah, Suriati Abdullah, 50, yang bertanding di DUN Balingian, gagal mengalahkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud selain kehilangan wang pertaruhan apabila beliau hanya meraih 871 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Selain Suriati, dua lagi calon wanita daripada PKR iaitu ahli perniagaan Zolhaidah Suboh, 38, kalah dalam pertandingan tiga penjuru bagi DUN Lambir manakala Ibi Uding, 49, tewas dalam pertandingan enam penjuru bagi kawasan DUN Balai Ringin.

Sementara itu, dua calon wanita yang diketengahkan oleh PAS iaitu Nani Sahari kalah kepada Tan Sri Adenan Satem daripada BN bagi DUN Tanjung Datu dan Noraini Hamzah pula diketepikan oleh Datuk Sri Mohammad Ali Mahmud bagi DUN Muara Tuang.

Calon wanita tunggal daripada Parti Cinta Malaysia Datin Dayang Juliana Awang Tambi, 44, hilang wang pertaruhannya dalam pertandingan empat penjuru bagi DUN Bekenu.

Calon wanita tunggal bagi DUN Batu Lintang, Soo Lina, 52, juga hilang wang pertaruhan selepas setakat meraih 290 undi dalam pertandingan tiga penjuru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan