Realisasikan Transformasi Sarawak

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) bersama Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu melaungkan hidup Barisan Nasional setelah meraikan kemenangan pada Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 di Kuching, Sabtu. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) bersama Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu melaungkan hidup Barisan Nasional setelah meraikan kemenangan pada Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 di Kuching, Sabtu. - Foto BERNAMA

SEGALA ramalan dan telahan sudah terjawab. Keputusan pilihan raya Sarawak ke-10 yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) nyata sekali membuktikan tsunami politik yang melanda negara pada pilihan raya umum 2008 tidak berulang di Bumi Kenyalang ini.

Kejayaan BN membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga membuktikan rakyat masih menaruh kepercayaan kepada corak kepimpinan parti itu terutama sekali bagi membela nasib mereka.

Rakyat Sarawak sekali lagi memberi isyarat bahawa atmosfera politik di negeri ini cukup berbeza dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Semenanjung.

Buktinya rakyat menolak cara berpolitik yang 'bertuhankan' kuasa ataupun bersifat peribadi kerana bagi mereka isu pembangunan sama ada fizikal dan rohani adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Menerusi keputusan pilihan raya Sarawak semalam, kemenangan BN dengan memperoleh 55 kerusi daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut memberi petanda tersendiri kepada parti berkenaan secara keseluruhan.

Walaupun rakyat masih mahu mengekalkan BN, namun secara tidak langsung mereka memberi ingatan kepada kepimpinan parti itu terutama dari sudut transformasi yang dilaung-laungkan.

Transformasi vs Ubah

Bagi BN sendiri, idea transformasi seharusnya dilihat dari pelbagai sudut bukan sahaja untuk mentranformasikan rakyat selari dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), namun ia juga perlu diamati dari aspek kepimpinan.

Kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud seharusnya sudah merasai getaran kehendak rakyat terutamanya bagi melihat generasi baru diberi kepercayaan memimpin Sarawak agar terus 'mansang' atau maju.

Selama 30 tahun pemerintahan Abdul Taib di Sarawak, beliau sudah banyak melakukan pelbagai transformasi untuk rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

Namun rakyat merasakan sudah tiba masanya beliau meletakkan beban yang dipikulnya selama ini kepada generasi baru selari dengan kehendak rakyat selaras dengan konsep gagasan 1Malaysia iaitu rakyat perlu didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Keseriusan kerajaan BN melakukan transformasi politik berjaya meleburkan slogan 'undi untuk perubahan' atau 'ubah' yang dibawa pakatan pembangkang.

Memang benar rakyat mahukan perubahan, tapi menariknya keinginan mereka itu bukan atas dasar membuta tuli mahu mengubah kepimpinan sedia ada kepada yang baru tanpa mempertimbangkan kemampuan sebenar pembangkang.

BN sendiri tahu, jumlah kerusi yang mereka menangi kali ini berkurangan berbanding pilihan raya 2006 apabila menang selesa dengan 63 kerusi.

Namun pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh melihat ia sebagai kebangkitan pembangkang di Sarawak ataupun indikator kepada sokongan rakyat terhadap penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Faktor Anwar' yang turut berkampung di Sarawak dengan siri ceramahnya langsung tidak menyumbang kepada kejayaan parti itu apabila hanya menang tiga daripada 49 kerusi yang mereka tandingi.

Pembangkang seharusnya melihat bahawa perubahan atau transformasi yang cuba dizahirkan rakyat pada pilihan raya kali ini bukan bermaksud mereka sudah bosan atau mual dengan kepimpinan BN namun ia hanya manifestasi ke arah perubahan angin kepimpinan.

Rakyat tahu masa depan mereka bukan bergantung kepada faktor individu sebaliknya bersandarkan kepada parti mana yang terbukti mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Transformasi SUPP

Kekalahan teruk Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) apabila hanya memenangi enam daripada 19 kerusi yang ditandingi adalah contoh baik kepada transformasi yang diinginkan rakyat.

SUPP, salah satu komponen BN di Sarawak menghadapi tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Tan tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di DUN Piasau, Miri dengan majoriti 1,590 undi.

Ling memperoleh 5,998 undi manakala Dr Chan pula meraih 4,408 undi.

Keputusan ini adalah kejutan terbesar dalam pilihan raya negeri ke-10 bukan sahaja kepada parti itu malah kepada BN secara keseluruhannya.

Kepimpinan parti itu perlu menilai kembali faktor yang menyumbang kepada kekalahan mereka terutamya sekali ekoran tewas di tangan DAP khususnya di kawasan majoriti masyarakat Cina di bandar.

Semua peringkat kepimpinan SUPP perlu bermuhasabah mengenai kekalahan berkenaan dan perlu memikirkan jalan keluar kepada kebuntuan yang dihadapi mereka.

Masyarakat Cina pastinya mempunyai percaturan tersendiri apabila buat kali kedua menolak SUPP.

Demi masa depan BN, Dr George perlu memberi laluan kepada muka baru yang lebih segar untuk menguruskan SUPP bagi memenangi semula hati rakyat.

Ketulusan Abdul Taib sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) seharusnya diteladani apabila mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri dalam penggal kali ini.

Kesediaan memberi laluan kepada muka-muka baru menjadikan BN sebagai sebuah parti yang disenangi rakyat apabila meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan