Perlu Teliti Pelbagai Faktor Sebelum Panggil Pilihan Raya Umum - Najib

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun Barisan Nasional (BN) teruja dengan kemenangan memberangsangkan pada pilihan raya negeri Sarawak, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau perlu meneliti beberapa faktor sebelum mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 dalam waktu terdekat.

"Jadi dalam konteks itu kita lebih teruja, kagum dengan kemenangan ini namun ini baru pilihan raya peringkat negeri. Walaupun Sarawak itu besar tetapi ia masih lagi di peringkat negeri," katanya pada sidang media di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Sabtu.

Perdana Menteri mengulas pertanyaan sama ada keputusan pilihan raya negeri Sarawak itu bakal menjadi kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU.

BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya berakhir 2013. Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.

Najib berkata, selain kejayaan di Sarawak, BN juga masih mempunyai keseluruhan Semenanjung dan Sabah yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Jadi, kita harus mengambil kira segala faktor itu sebelum membuat keputusan bila hendak mengadakan pilihan raya umum boleh dibuat," katanya.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 itu, parti DAP memang 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga dan satu kerusi oleh calon Bebas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan