Pakatan Pembangkang Gagal Cetus Tsunami Politik Di Sarawak, Kata Najib

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan yang sangat meyakinkan bagi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Sabtu menunjukkan bahawa pakatan pembangkang gagal mencetuskan tsunami politik di negeri itu.

Perdana Menteri berkata apa yang diuar-uarkan oleh pakatan itu, sama ada melalui ceramah ataupun media alternatif atau yang cuba disebarkan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, pengundi pada umumnya tidak menerima cara yang dilakukan oleh parti pembangkang yang cuba hendak mencetuskan tsunami politik.

"Kesudahannya pengundi di Sarawak berfikir secara rasional, bukan secara emosi, bahawasanya masa depan mereka akan hanya terbela dan terjamin dengan sokongan kepada BN, dan parti pembangkang bukan alternatif yang lebih baik.

"Ini satu kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kepada kemenangan besar yang dicapai BN," kata beliau yang juga Pengerusi BN pada persidangan akhbar di Menara Dato' Onn di sini malam Sabtu.

Dalam pilihan raya hari ini BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala pakatan pembangkang menang 15, dan satu dimenangi calon Bebas.

Daripada 15 kerusi yang dimenangi pembangkang, 12 diperoleh oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat yang diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menang tiga daripada 49 kerusi yang ditandinginya.

Najib seterusnya menyifatkan kemenangan BN yang memperolehi lebih daripada majoriti dua pertiga sebagai satu mandat yang kukuh daripada rakyat buat BN untuk terus memerintah negeri.

"Keputusan ini merupakan satu mandat yang kuat, dan saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi di Sarawak kerana memberi sokongan yang berterusan kepada BN untuk memimpin negeri Sarawak," katanya.

Perdana Menteri berkata salah satu daripada faktor utama kejayaan BN adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, dan antara BN pusat dan BN negeri.

"Saya ucap terima kasih pada Pehin Seri Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak, kerana apabila kedua-dua kerajaan berganding bahu seia dan sekata, bererti bahawa kita memberi pengharapan kepada rakyat bahawa kita boleh membuat perubahan atau transformasi yang besar kepada negeri Sarawak.

"Saya percaya salah satu daripada perkara yang dapat diterima baik ialah imaginasi rakyat, yang dapat kita sentuh apabila kita menjanjikan transformasi besar kepada negara dan juga kepada negeri Sarawak melalui program GTP (Pelan Transformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) yang mana momentumnya kita akan terus tingkatkan lagi," katanya

Najib berkata apa yang penting sekarang adalah untuk BN mengekalkan sokongan ini supaya sokongan di peringkat DUN ini dapat diterjemahkan apabila sampai pada masa pilihan raya umum ke-13 nanti.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan BN akan mengotakan segala janji yang diberikan kepada rakyat Sarawak ketika kempen supaya rakyat tidak perlu sangsi dengan komitmen yang diberikan.

"Kalau kita memberi suatu komitmen, komitmen itu kita laksanakan dalam tempoh yang terdekat," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Najib berkata beliau percaya Taib akan mengotakan komitmen dan janji yang dibuatnya.

"Apa-apapun komitmen dan janji yang dibuat secara terbuka saya percaya Pehin Seri akan kotakan janji ini sebab itu telah dibuat sebagai satu komitmen, tapi kita akan tentukan kesesuaian masanya. Tapi yang penting sekarang ini adalah untuk menentukan perubahan yang tersusun dan terancang. Inilah yang kita ajukan kepada pengundi di Sarawak," katanya

Najib berkata BN juga menggunakan pengalaman di Sarawak ini sebagai satu medan ujian untuk menambah kemampuan serta persediaan, dan juga pengetahuan tentang apakah kaedah yang paling tepat mencapai kejayaan apabila sampai pada masanya untuk pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata di samping menghargai sokongan rakyat, BN juga harus menggunakan kesempatan ini untuk membuat analisis yang mendalam berdasarkan pencapaiannya, antaranya kejayaan di kebanyakan kawasan di mana majoriti BN bertambah, yakni di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

"Ini bererti mesej kita untuk pengundi di luar bandar sudah diterima dengan peningkatan sokongan, namun kegagalan kita di beberapa kerusi yang saya anggap sebagai kerusi-kerusi di bandar, menuntut BN untuk membuat kajian yang mendalam akan apa sebabnya supaya kita boleh gunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menarik sokongan di kalangan pengundi-pengundi di bandar," katanya.

Ditanya apakah nasihat beliau kepada kepimpinan BN Sarawak supaya dapat menarik kembali sokongan di kawasan yang kalah, Najib berkata BN mesti mengkaji sebabnya dan mesti berazam untuk melakukan perubahan.

"Jelas sekali bahawa mana-mana pihak yang tak mahu melakukan perubahan boleh ditolak oleh pengundi. Di Sarawak, pengundi di kawasan pedalaman pun kita tak boleh pandang mudah, mereka juga boleh mengubah sikap jika apa yang mereka lihat itu tidak serasi dengan mereka," katanya.

Menjawab satu soalan, Najib berkata dalam demokrasi, untuk mendapat majoriti yang besar kini semakin mencabar.

"Sebab dengan adanya demokrasi terbuka dan media online, tidak semudahnya untuk mendapat majoriti yang besar sepertimana kita lihat di beberapa negara mutakhir ini, dapat simple majoriti pun mereka dah rasa lega," katanya.

Tapi menurutnya di Sarawak, BN dapat mencapai kejayaan melebihi majoriti dua pertiga.

"Jadi dalam ukuran hari ini, dalam konteks demokrasi berparlimen menggunakan kayu pengukur global... ini satu pencapaian yang luar biasa sebenarnya dan ini kita mesti ambil iktibar bahawa ini satu kejayaan yang sangat memberangsangkan," katanya.

Najib berkata BN memang mengharapkan kepada kemenangan mutlak yakni melebihi majoriti dua pertiga.

"Tetapi saya selalu katakan bahawa dalam konteks hari ini ia semakin mencabar berbanding dengan masa-masa yang lalu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan