PRN Sarawak: Abdul Taib Akan Buktikan Ramalan Pembangkang Salah

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Abdul Taib Mahmud berkata beliau akan membuktikan ramalan pembangkang adalah salah apabila mendakwa mereka akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya Sarawak ke-10 yang berlangsung hari ini.

"Saya akan buktikan bahawa ramalan berkenaan salah," katanya ketika diminta mengulas mengenai ramalan bahawa pembangkang mampu memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi pada pilihan raya berkenaan.

Beliau ditemui selepas membuang undi di pusat mengundi Dewan Datuk Merpati Jepang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Bagaimana Abdul Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan mengulas lanjut berhubung keyakinannya itu sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi.

Ditanya perkembangan suasana proses pengundian hari ini, Abdul Taib berkata semuanya berjalan lancar sama seperti kebiasaan hari lain.

"Sama seperti hari-hari lain, sehingga kini prosesnya berjalan lancar. Kami di Sarawak berjaya mengekalkan sistem politik dan proses mengundi dalam keadaan yang aman walaupun berlaku sedikit perubahan.

"Namun saya berbangga apabila rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai taktik tidak sihat yang berlaku," katanya.

Malah Abdul Taib turut menasihati rakyat supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

"Keluarlah mengundi, kepada siapa mereka memberi undi, itu terpulang kepada mereka," katanya.

Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di Sarawak dengan keputusan yang baik.

Pilihan raya kali ini mencatat rekod tersendiri apabila sejumlah 213 calon bertanding bagi merebut 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

BN bertanding di 71 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (49), DAP (15), Parti Kebangsaan Sarawak (26), PAS (5), Parti Cinta Malaysia (6) dan Bebas (41).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan