PRN Sarawak: Rakyat Tentukan Masa Depan Negeri Esok

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ESOK tanggal 16 April 2011, rakyat di seluruh Sarawak akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka bagi menentukan masa depan Bumi Kenyalang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tentunya, setiap undi amat penting dalam membentuk pentadbiran baru di negeri ini bagi menjamin kestabilan politik, keharmonian kaum dan program pembangunan diteruskan demi kepentingan rakyat.

Setiap parti mempunyai tempoh sehingga tengah malam ini untuk berkempen tetapi rakyat pastinya sudah membuat penilaian terbaik sebagai wakil mereka untuk menyuarakan segala masalah dan kesulitan yang dihadapi di kawasan masing-masing.

Berdasarkan tinjauan mStar Online, rata-rata penduduk di negeri ini mahu Barisan Nasional (BN) mengekalkan tampuk pemerintahan di Sarawak selepas mengambil kira perubahan yang dibawa parti itu. Menurut Jocelyn Chong, pemilik kedai pakaian yang diusahakan di Kenyalang Park, Kuching, berpendapat BN akan berdepan persaingan sengit untuk merampas kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending daripada DAP.

Bagaimanapun, beliau yakin percaturan BN dengan menurunkan calon baru, Prof Dr Sim Kui Hian adalah satu langkah bijak dalam usaha memenangi hati masyarakat Cina di kawasan ini.

"Saya yakin Dr Sim sudah ada peminat sendiri. Beliau mempunyai idea meyakinkan khususnya dalam bidang perubatan yang dilihat dapat membantu BN merampas kembali kerusi di sini.

"Kedua-dua parti ada kelebihan masing-masing. Ketika di bawah pemerintahan DAP, Violet sering turun padang untuk mengetahui masalah rakyat. Beliau berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik," katanya yang akan keluar mengundi awal pagi esok kerana tidak mahu bersesak-sesak.

Bagi pemilik kedai alat tulis yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk keluar mengundi esok dalam menentukan masa depan negeri Sarawak.

"Ia perkara yang ditunggu-tunggu sekali dalam tempoh lima tahun. Saya hadir mendengar ceramah daripada kedua-dua parti. Namun, saya masih sukar untuk membuat pilihan. Sesiapa saja yang menang kelak diharap dapat membawa kemajuan di kawasan ini," katanya.

Lau turut berharap agar masalah perniagaan yang tidak menentu membabitkan peniaga di kawasan itu dapat dipulihkan dengan segera.

"Urusan perniagaan di sini sejak dua, tiga tahun ini agak perlahan. Jika anda lihat sekarang, jumlah pelanggan tidak begitu ramai. Saya berharap agar sesuatu dapat dilakukan untuk menghidupkan kembali suasana di sini dan menambah pendapatan peniaga," ujarnya yang turut mengundi di DUN Pending.

Pada pilihan raya negeri 2006, calon DAP, Violet Yong Wui Wui menewaskan Datuk Sim Kheng Hui (BN) dengan 4,372 majoriti undi.

Sementara itu, Abdul Karim Kamaludin, salah seorang pengundi India di DUN Padungan, menaruh keyakinan tinggi BN masih berupaya mempertahankan majoriti kerusi dua pertiga.

"BN sudah melakukan banyak perubahan di Sarawak untuk memudahkan hidup rakyat. Usah kita rosakkan undi untuk orang yang hanya tahu berjanji manis dan menampakkan bayang-bayang pada pilihan raya. Kita mahu kerajaan yang memahami suara rakyat," jelasnya.

Jelasnya, jika BN tewas di Padungan sekalipun, dia percaya BN masih mengekalkan penguasaan di Sarawak berdasarkan rekod cemerlang calonnya sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

"Pembangkang tidak akan menang walaupun mereka cuba meraih undi rakyat dengan memutar-belitkan kenyataan kerajaan. Mereka hanya pandai berkata-kata tapi bila habis pilihan raya kelibat pun sudah tidak kelihatan," tambahnya yang menjalankan perniagaan runcit sejak 45 tahun lalu.

Awat Marden, 44, dari Kampung Sebangan dalam DUN Simunjan berpendapat rakyat di negeri ini tidak patut membiarkan keputusan dipengaruhi emosi ketika keluar mengundi esok.

Sebaliknya, dia mahu pengundi membuat pilihan tepat supaya tidak menyesal di kemudian hari.

"Kita patut fikir sedalam-dalamnya mengenai kehidupan anak cucu pada masa hadapan. Saya yakin rakyat di negara ini tentunya tidak mahu diperbodohkan demi kepentingan individu tertentu.

"Kehidupan kita sekarang sudah jauh berubah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan untuk dinikmati rakyat pelbagai bangsa. Janganlah kita terpedaya dan buatlah keputusan secara rasional," kata kakitangan kerajaan berusia 44 tahun itu.

Selain itu, beberapa program pembangunan yang dilakukan BN di kawasan Sebuyau menjadi contoh terbaik parti itu sentiasa menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat.

Perkara itu diakui Ini Ismail, 55, salah seorang penduduk di kawasan itu yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Kuching.

"Dulu kawasan di sekitar daerah Sebuyau hanya dihubungkan dengan pengangkutan air. Kini, kami tidak perlu lagi risau kerana kerajaan membina sistem jalan untuk memudahkan pergerakan penduduk di sekitarnya," ujarnya yang akan balik ke kampung halaman awal pagi esok untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Ini turut menyenangi cara penyandang DUN Sebuyau, Julaihi Narawi dari BN menjalankan tugasnya.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan Julaihi, setiap penduduk di sini mendapat bantuan kerajaan sama rata.Oleh itu, saya yakin rakyat masih setia menyokong BN tanpa sebarang perasaan ragu-ragu," tambahnya. Berdasarkan pemerhatian penulis, pilihan raya kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihan raya Sarawak.

Namun tiada apa mustahil kerana undi rakyat mengatasi segalanya.

Ia penting dalam menentukan tampuk pemerintahan yang akan mentadbir negeri yang kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan gas serta balak itu.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan