Keputusan Pilihan Raya Sarawak Dijangka Selesai Diumumkan Pada 11 Malam

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan paling awal bagi pilihan raya negeri Sarawak esok akan diperoleh pada pukul 8 malam dan semua keputusan akan selesai diumumkan sebelum pukul 11 malam.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berdasarkan keadaan semasa dan jika tidak berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga atau luar biasa.

Beliau berkata SPR juga menjangkakan jumlah peratusan pengundi yang keluar akan meningkat berbanding pilihan negeri pada 2006 iaitu 63.2 peratus kerana pilihan raya kali ini berlainan berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Saya jangkakan antara 65 hingga 75 peratus. Parti-parti bertanding begitu teruja kali ini. Tak pernah dalam sejarah pilihan raya negeri sampai 213 calon, dengan calon Bebas 41 orang. Lepas itu tak ada siapa yang menarik diri," katanya.

Beliau turut meminta para pengundi berdaftar supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi kerana cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang.

Beliau turut meminta parti-parti bertanding supaya tidak mengganggu para pengundi kerana tindakan itu kadang-kala boleh menakutkan pengundi.

Mengenai dakwaan adanya pengundi hantu, Abdul Aziz berkata masalah pengundi hantu telah beberapa kali dibangkitkan tetapi sehingga kini masih tidak dapat dibuktikan. "Jika mereka jumpa pengundi ini, mereka boleh tangkap dan serahkan pada kita. Sebenarnya pengundi hantu yang mereka maksudkan adalah orang Sarawak yang berada di luar. Bila mereka balik, orang tak kenal, tu yang keluar pengundi hantu," katanya.

Beliau berkata undi pos akan dikumpulkan hari ini dan akan dibuka pukul 9 pagi esok tetapi pengiraannya hanya akan dijalankan pukul 5 petang, dan kesemua proses ini akan disaksikan ejen-ejen parti.

Abdul Aziz turut meminta para pengundi supaya membuat semakan mengenai lokasi tempat mereka mengundi, saluran mengundi dan nombor menerusi laman web SPR, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menelefon SPR negeri, ataupun pilihan terakhir di pondok SPR esok.

Beliau berkata tempoh berkempen tamat pukul 12 malam ini, dan selepas itu tiada lagi pihak yang dibenarkan berkempen.

"Tidak boleh lagi wujudkan pejabat parti untuk berkempen sama ada di rumah, kedai, pondok dan dewan. Tidak boleh guna tanah persendirian untuk dijadikan bilik gerakan parti.

"Hari mengundi tak boleh lagi bawa lambang parti berhampiran pusat mengundi. Kalau tak, polis dan SPR akan tahan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan