Murugiah Terima Surat Tidak Sambung Senator

Diterbitkan: Khamis, 14 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah pada Khamis mengesahkan telah menerima surat memaklumkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Negara yang tamat pada 17 April ini tidak akan disambung semula.

Beliau berkata, walaupun mulai Isnin ini, beliau tidak lagi menjawat apa-apa jawatan kerajaan tetapi akan meneruskan khidmat kepada kerajaan melalui MIC dan juga Barisan Nasional (BN).

"Saya akur dengan keputusan parti, ini kerana telah ada peraturan dan perjanjian yang ditetapkan jelas yang seseorang ahli yang dilantik tidak boleh memegang jawatan itu lebih dari tempoh masa yang ditetapkan.

"Keputusan itu menjadikan saya orang pertama yang melaluinya dan sebagai ahli parti, saya harus mematuhinya demi kebaikan parti dan BN," katanya kepada Bernama ketika dihubungi dari sini hari ini.

MIC telah membuat peraturan supaya calon dari parti itu hanya dilantik sebagai Senator selama sepenggal. Murugiah kini berada di Sarawak membantu kempen pilihan raya negeri itu.

Sebuah portal berita semalam yang menyebut sumber-sumber MIC melaporkan Murugiah akan digugurkan dari Kabinet selepas kedudukannya sebagai Senator yang berakhir Isnin ini tidak disambung.

MIC juga dikatakan telah mencalonkan Pengerusi MIC Pulau Pinang Datuk P. K. Suppiah bagi menggantikan tempat bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Rakyat (PPP) yang menyertai MIC tahun lepas.

Murugiah berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat itu dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat dengan kerajaan sebagai timbalan menteri. "Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua menteri dan timbalan menteri, kakitangan jabatan kerajaan dan swasta yang telah memberikan kerjasama yang amat baik ketika berurusan dengan saya terutama kepada bos saya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon( Menteri di JPM)," katanya.

Murugiah juga berkata, beliau tidak pencen sebagai ahli politik sebaliknya akan menggunakan masa terluang yang ada untuk berkhidmat dan merapatkan diri dengan masyarakat bagi memastikan perancangan gagasan 1Malaysia terus berjalan lancar.

Walaupun berpeluang berkhidmat dalam tempoh yang singkat, beliau berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian Biro Pengaduan Awam (BPA) yang dikendalikannya sejak tiga tahun lepas yang kini semakin dikenali dan menjadi instrumen penting untuk menyampaikan masalah rakyat.

"Ini merupakan tugasan terpenting yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib kepada saya iaitu memastikan aduan dan permasalahan rakyat diterima dan diselesaikan dengan baik.

Semenjak nombor telefon saya disiarkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina beberapa minggu lalu, saya telah melayani lebih 600 panggilan sehari dan ini menunjukkan BPA semakin mendapat tempat di hati penduduk negara ini," katanya.

Murugiah juga meminta para penyokongnya bersabar dengan perkembangan terkini itu dan menerimanya dengan hati terbuka kerana parti masih mempunyai ramai lagi pemimpin yang berkaliber, berdedikasi dan berpengalaman.

"Saya menerima lebih 1,000 khidmat pesanan ringkas (sms) hari ini...saya harap mereka terima berita ini dengan hati terbuka kerana saya juga boleh menerimanya," kata beliau. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan