Kastam KLIA Beri Jaminan Akan Percepatkan Proses Kelulusan Borang Eksport/Import

Diterbitkan: Khamis, 14 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) memberi jaminan kepada syarikat penghantar fret udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bahawa mereka akan cuba menguruskan kelulusan keluar kargo yang tersadai di situ sejak tiga hari lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Govindren Mutosamy memberi jaminan itu kepada Persatuan Penghantar Fret Udara Malaysia (AFAM) dalam pertemuan dengan mereka pada Rabu.

Bercakap kepada para pemberita di sini sebaik sahaja pertemuan itu selesai, Govindren memaklumkan bahawa lapan pegawai akan ditugaskan untuk menguruskan kelulusan keluar beribu borang import dan eksport bermula Khamis.

“Jaminan saya kepada mereka ialah, saya akan meletakkan jumlah kakitangan yang cukup bagi memastikan semua borang yang diperlukan untuk kelulusan diuruskan dengan pantas dan segera,” katanya.

Govindren berkata, jabatannya tidak mahu menjadikan alasan gerakan membanteras rasuah yang dijalankan secara besar-besaran ke atas pegawai kastam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai punca kepada kelewatan memproses borang-borang kargo.

“Ya, kelewatan memproses borang-borang itu ada kaitan dengan serbuan yang dijalankan oleh SPRM tempoh hari tetapi sebagaimana yang saya jelaskan kepada semua pihak, kita semua hanyalah manusia biasa,” kata Govindren sebelum dengan segera menamatkan sidang akhbarnya. Serbuan itu telah menyebabkan kakitangan Jabatan Kastam percaya bahawa SPRM sedang mencari mangsa di dalam jabatan itu dalam usaha untuk memperolehi semula ‘kehilangan wang’ kerajaan bernilai RM3 bilion dari hasil cukai dan duti.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed telah menjelaskan kedudukan sebenar operasi yang dijalankan sebelum ini kepada persatuan pegawai dan kakitangan kastam yang bertemu dengannya. Adalah difahamkan, kelewatan memproses antara 40,000 borang import 70,000 borang eksport adalah disebabkan kekhuatiran pegawai-pegawai kastam bahawa mereka mungkin sedang diperhatikan oleh pengintip-pengintip SPRM.

KLIA yang biasanya merupakan pintu keluar-masuk kargo eksport dan import yang paling pantas kini berhadapan dengan kelewatan yang ketara kerana pegawai-pegawai kastam dikatakan khuatir mereka sedang diperhatikan ekoran operasi yang dijalankan oleh SPRM.

Pengerusi AFAM, Walter Culas berkata, sementara pihak persatuan berasa lega dengan jaminan yang diberikan oleh Jabatan Kastam KLIA untuk mempercepatkan proses perlepasan borang eksport dan import, AFAM masih berhadapan dengan kelewatan pemprosesan kargo di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Westport dan Northport.

“Ini sebenarnya adalah isu antara Jabatan Kastam dan SPRM...ia tidak sepatutnya menjejaskan industri. “Jika mana-mana pegawai kastam merasakan mereka tidak bersalah, mereka tidak perlu merasa takut atau fobia untuk menandatangani borang perlepasan hanya kerana khuatir akan disiasat oleh SPRM. Jika takut, tidak perlu memakai seragam itu. Urusan dalam negara perlu diteruskan tanpa rasa takut dan ragu jika kita tidak bersalah atau melakukan kesalahan,” kata Culas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan