Forum Institut Integriti M'sia Di Pandamaran Klang

Diterbitkan: Khamis, 14 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Polis Di Raja Malaysia akan menganjurkan Forum Rakyat: Jenayah dan Integriti pada hari Sabtu, 16 April di Dewan MPK Taman Pandamar Indah 2, Pandamaran, Klang.

"Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti yang diadakan julung kali ini adalah antara salah satu program yang dilaksanakan oleh IIM dalam usaha mendekati rakyat dan menjayakan agenda integriti negara demi kesejahteraan masyarakat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat," kata Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh.

Forum ini membariskan tokoh-tokoh yang tidak asing dalam usaha-usaha menangani jenayah serta memupuk integriti dan kesejahteraan masyarakat.

Ahli-ahli panel akan terdiri daripada Datuk Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman; Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Presiden I, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan juga Datuk Dr. Mohd Tap sendiri.

Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin akan bertindak sebagai moderator di forum ini.

Majlis Pelancaran forum rakyat ini akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Lee Chee Leong.

IIM berharap program ini akan dapat memberi kefahaman mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat dalam menangani isu-isu jenayah seterusnya mengembeleng tenaga ke arah mewujudkan masyarakat selamat dan sejahtera.

"Prinsip-prinsip integriti harus dijadikan sebagai asas kepada usaha mencegah jenayah melalui komunikasi antara pihak berkuasa, persatuan penduduk,rukun tetangga, badan sukarela dan golongan pelajar," kata Mohd Tap.

Agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan forum rakyat ini termasuk Bahagian NKRA Jenayah, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Penerangan Negeri Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, RTM, RELA, Rukun Tetangga Kampung Pendamar dan Voluntary Group For Everyone (VOGUE).

Orang ramai di sekitar kawasan Pandamaran, Klang dan kawasan yang berdekatan dijemput hadir ke forum ini dan juga melawat pameran yang disertai oleh pelbagai agensi mulai jam 8.00 pagi hingga jam 1.00 tengah hari.

Siri Forum Jenayah dan Integriti ini akan diadakan di zon-zon yang terpilih di seluruh negara dari semasa ke semasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan