Pos, Kuarters Imigresen Akan Dibina Di Bario - Hishammuddin

Diterbitkan: Rabu, 13 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAWAS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membina pos dan kuarters Imigresen di Bario di sini di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata projek itu yang bernilai RM20 juta merupakan sebahagian daripada RM59.6 juta yang diperuntukkan untuk pelaksanaan 11 projek KDN di Sarawak.

Pembinaan pos dan kuarters Imigresen itu adalah antara empat projek baru daripada 11 projek KDN di negeri ini dan selebihnya merupakan projek sambungan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sempena lawatannya ke Ba'Kelalan di sini.

Hishammuddin berkata tiga lagi projek baru berkenaan ialah pembinaan pejabat dan rumah kediaman Jabatan Pendaftaran Negara di Mukah (RM4 juta), Spaoh (RM4 juta) dan Debak (RM3.5 juta), bagaimanapun lokasi bagi ketiga-tiga projek masih belum ditentukan lagi.

Katanya antara tujuh projek sambungan itu ialah pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Tujuh di Senadin yang bernilai RM16,500 dan pembinaan pos dan kuarters imigresen di Biawak di Satok (RM4.6 juta), Lubok Antu di Batang Ai (RM3 juta), Mengkalap, Lawas (RM1 juta) dan Tedungan di Bukit Kota (RM2 juta).

Hishammuddin berkata kesemua projek KDN di negeri ini akan memberikan impak yang tinggi kepada rakyat Sarawak kerana ia memberi keutamaan kepada soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Manakala untuk warga KDN di Sarawak, projek-projek yang dilaksanakan akan memberi fokus kepada soal kebajikan pegawai dan anggota secara keseluruhannya," katanya.

Pelaksanaan projek-projek KDN di Sarawak ini adalah selari dengan apa yang digariskan di bawah Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang antara lain akan turut memberi penekanan terhadap pembinaan dan penambahbaikan kuarters, rumah kediaman, balai polis, pos imigresen dan sebagainya, katanya.

Hishammuddin berkata ia juga selaras dengan usaha untuk memastikan Model Baru Ekonomi (MBE) dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk memastikan pelabur asing yang ingin melabur di Malaysia tidak mempunyai kemusykilan atau risau daripada aspek keselamatan kerana KDN akan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Bagi fasa kedua RMK-10 (2013-2015) bagi negeri Sarawak, KDN sedang merancang dan memohon daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk membina lebih banyak kuarters baru dan menaik taraf kuarters sedia ada bagi anggota-anggota di bawah KDN.

Ini termasuk membina atau menaik taraf balai-balai polis terutamanya di Kawasan Pertumbuhan Luar Bandar, pos-pos Imigresen, membina Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang baru, menggantikan bangunan Pasukan Gerak Am (PGA) yang daif terutamanya di Sibu, membina ibu pejabat dan pusat latihan RELA bagi negeri ini.

Beliau berkata sepanjang RMK-10, secara keseluruhannya KDN akan meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan melalui peluasan perkhidmatan kaunter, penubuhan unit bergerak, pembangunan dan peningkatan keupayaan sistem perkomputeran. "Pihak KDN juga akan memperluaskan program berteraskan komuniti melalui aktiviti kesukarelaan bagi memupuk perpaduan dan semangat 1Malaysia, mengukuhkan pembangunan modal insan melalui program-program latihan kepada penjawat awam, pengukuhan program-program pemulihan dalam tahanan," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan