Rang Undang-Undang Pengkorporatan Mida Akan Berkuat Kuasa Julai - Najib

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rang Undang-undang pengkorporatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat dijangka berkuat kuasa pada Julai.

Perdana Menteri hari ini berkata melalui langkah itu, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya untuk mempercepatkan membuat keputusan dan menyelaraskan agensi promosi pelaburann yang lain bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran ditambah nilai yang tinggi Malaysia dan mengembangkan sektor perkhidmatan.

"Jadi, bagi mengelakkan pertindihan dan kekeliruan, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya bagi membuat keputusan dengan segera dan menyelaraskan kesemua agensi promosi pelaburan yang lain bagi sektor pengeluaran dan perkhidmatan Malaysia," katanya semasa berucap pada persidangan "Invest Malaysia 2011" di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah itu akan meningkatkan sektor pengeluaran dan perkhidmatan yang penting bagi meneruskan lajakan transformasi ekonomi Malaysia.

Para pelabur menyambut baik pengkorporatan MIDA, sambil menyatakan ia jelas mencerminkan kesinambungan program berorientasikan tindakan bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mengantarabangsakan ekonomi Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri di bawah Program Transformasi Ekonomi.

Beralih kepada Talent Corporation Malaysia Bhd yang diwujudkan bagi menarik dan mengekalkan bakat asing terbaik, Najib berkata insentif cukai pendapatan peralihan yang baharu akan juga diperkenalkan, di mana ahli profesional Malaysia yang pulang akan layak menerima kadar tetap cukai pendapatan 15 peratus bagi tempoh lima tahun.

Beliau melahirkan harapan agar langkah itu akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara, yang mempunyai kepelbagaian pengalaman dan kemahiran, untuk pulang dan memainkan peranan aktif di dalam transformasi ekonomi Malaysia.

Najib turut mengumumkan bahawa satu kerangka dana pencen swasta yang baharu yang membolehkan diwujudkan skim persaraan swasta diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti akan turut diwujudkan menjelang akhir tahun ini, yang akan menggalakkan kepelbagaian yang lebih meluas di dalam pengurusan simpanan jangka panjang.

"Seiringan itu, keupayaan para pengurus dana untuk melabur secara langsung akan dimudahkan melalui peluasan pelbagai struktur perundangann bagi meraih pelaburan," katanya.

Usaha akan turut dilaksanakan untuk menarik pakar pengurus dana dan untuk menggalakkan kepelbagaian lebih meluas strategi pelaburan, pengukuhan hubungan antara simpanan negara dan pertumbuhan ekonomi, kata Najib.

Beliau turut menonjolkan bahawa pelaburan RM3.3 bilion oleh Mitsui and Co. bagi mendapatkan kepentingan 30 peratus di dalam Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd yang dimiliki Khazanah Holdings yang diumumkan pada minggu lepas "adalah satu urus niaga yang besar bagi kita." Katanya urus niaga itu, yang merupakan pengambilalihan asing terbesar kepentingan di dalam satu ekonomi Malaysia sehingga ini tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan para pelabur di dalam salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara iaitu sektor penjagaan kesihatan.

Dan keputusan oleh satu "pelabur antarabangsa utama seperti Mitsui untuk membeli satu perbadanan pelbagai negara yang diterajui Malaysia, merupakan cerminan yang jelas kepercayaan mereka terhadap tadbir urus kita yang baik" di mana hasil yang diperolehi melalui transaksi ini akan menjana projek penjagaan kesihatan lebih RM1 bilion di seluruh Malaysia, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan