Muhyiddin Pengerusikan Mesyuarat Unesco Malaysia - Berita Semasa | mStar

Muhyiddin Pengerusikan Mesyuarat Unesco Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini mempengerusikan mesyuarat agung Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia (SKUM) di pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan, kementerian di Bukit Kiara di sini.

Beliau yang juga Presiden SKUM mempengerusikan mesyuarat itu selama dua jam bermula 9 pagi.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed selaku Naib Presiden SKUM.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, lima perkara telah dibincangkan iaitu mengenai penubuhan Kelab Unesco di Institusi Pengajian Tinggi Awam di Malaysia, laporan program dan aktivi SKUM, laporan perkembangan persediaan Malaysia untuk pertandingan di Jawatankuasa Warisan Dunia oleh Jabatan Warisan Negara dan laporan oleh semua Jawatankuasa Kecil Tetap SKUM.

Keanggotaan suruhanjaya itu terdiri daripada KSU Kementerian Pelajaran, KSU Kementerian Pengajian Tinggi, KSU Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, KSU Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan KSU Kementerian Luar.

Malaysia menganggotai Unesco sejak 16 Jun 1958 dan menjadi Lembaga Eksekutif Unesco yang dianggotai 58 buah negara. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan