Malaysia Di Landasan Betul Perangi Rasuah - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya selaras dengan tekad Pelan Integriti Nasional, kerajaan telah menaik taraf Badan Pencegah Rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menubuhkan lembaga penasihat, panel dan jawatankuasa untuk menasihati dan memantau perjalanan SPRM agar wujud ketelusan dan kebebasan dalam usaha memerangi rasuah.

Selain itu, "Integrity Pact" diperkenalkan dalam sistem perolehan kerajaan serta e-perolehan untuk mewujudkan ketelusan dalam pemberian tender dan kontrak kerajaan, katanya ketika menutup Pertandingan Pidato Integriti antara Institusi Pendidikan Guru bagi Piala Menteri Pelajaran Malaysia di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata kerajaan juga telah menubuhkan Unit Pematuhan di setiap agensi kerajaan yang berisiko, mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah dan bersetuju menerima pakai Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah.

"Dengan memperkukuhkan institusi penguatkuasaan anti-rasuah, mewujudkan mekanisme undang-undang yang bersepadu dalam menangani jenayah rasuah dan menubuhkan mekanisme pemantauan di agensi kerajaan, kita berkeyakinan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat diperangi habis-habisan di negara kita," kata Muhyiddin.

Menurut beliau, kerajaan juga telah menggubal Akta Pencegahan Rasuah, Akta Perlindungan Saksi, Akta Pengubahan Wang Haram dan Akta Bantuan Bersama dalam Hal-Hal Jenayah serta menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai tumpuan utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Kerajaan telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional bagi menyemarakkan budaya integriti dalam segenap lapisan masyarakat serta mengukuhkan integriti dalam pelbagai sektor, kata Muhyiddin.

"Ini (semua) tentu sekali akan meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan negara kita untuk bebas dari amalan rasuah," katanya.

Namun, kata Timbalan Perdana Menteri, kesemua inisiatif kerajaan untuk menghapuskan gejala rasuah dan memantapkan pembudayaan integriti dalam masyarakat memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk penjawat awam, ahli perniagaan, pekerja swasta dan seluruh anggota masyarakat, kerana tanpa sokongan ini inisiatif kerajaan tidak akan berjaya.

"Pembudayaan integriti adalah penting dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju yang mana warganya mengamalkan nilai-nilai moral dan etika yang murni.

"Pembudayaan integriti adalah ramuan penting dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang maju dan sejahtera," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan ingin melihat warga pendidik memainkan peranan lebih penting dan berkesan dalam memantapkan pembudayaan integriti melalui proses pendidikan.

"Sebagai pendidik, guru boleh menerapkan nilai moral dan etika yang luhur dalam pendekatan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya memupuk pembudayaan integriti di kalangan murid yang merupakan generasi masa depan negara," katanya.

Menurut beliau satu kaedah berkesan membentuk akhlak mulia adalah melalui pendidikan berkonsepkan "role model" atau contoh teladan yang baik di mana guru yang memiliki sifat amanah, dedikasi serta komited pada tugas, adalah contoh teladan terbaik kepada murid.

"Saya mencadangkan agar program berteraskan pemupukan budaya integriti dalam profesion perguruan seperti pertandingan pidato integriti ini dapat dipergiatkan lagi," katanya.

Dalam pertandingan itu, johan disandang Paizal Sanek dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG), Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, naib johan Mohd Shafiq Aiman Mat Nor (IPG kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan) dan tempat ketiga Fatimah Azzahra Mohamed Sharif (IPG Kampus Ipoh).

Pidato bertemakan "Pendidik Berintegriti, Teras Pencapaian 1Malaysia" dianjurkan bersama oleh Institut Integriti Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan