Kedai Jual Masakan Ikan Patin Perlu Pamer Harga

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Semua restoran, kedai makan dan gerai termasuk yang menjual masakan ikan patin diwajib mempamerkan senarai harga bagi memudahkan orang ramai dan pelanggan mengetahui harga makanan berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Cawangan Temerloh Othman Din berkata, tiada peniaga terkecuali daripada arahan itu walaupun ia berniaga di sebuah gerai kecil.

"Mereka yang menjual makanan yang sudah masak dan mentah serta barangan keperluan yang tidak mempamerkan tanda harga boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 2011.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM100,000 atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau keduanya sekali," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Bagi kedai makan yang menjual masakan ikan patin, beliau berkata, mereka perlu mempamerkan dua harga berlainan. "Satu harga ikan patin sungai iaitu patin muncung dan patin buah atau lain- lain jenis ikan sungai berharga, manakala satu lagi senarai harga patin sangkar,"kata Othman.

Menurutnya, dengan harga yang berlainan itu, pelanggan boleh membuat pilihan untuk menikmati ikan patin dan mereka tidak akan terkeliru apabila bayaran dikenakan ke atas mereka.

Bernama difahamkan patin sungai mencecah RM45 seketul bergantung pada saiz, manakala patin sangkar pula harganya antara RM5 hingga RM7 seketul.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah restoran di bandar Temerloh yang mengenakan bayaran RM13,000 kepada sekumpulan pelanggan yang menikmati hidangan masakan kampung termasuk ikan patin baru-baru ini.

Othman berkata, pemilik restoran, kedai atau gerai perlu ikhlas dan tidak mengelirukan pelanggan walaupun matlamat berniaga untuk mencari rezki dan untung.

"Pelanggan yang merasa teraniaya dan dikenakan bayaran mahal hanya sekali sahaja ke kedai tersebut dan yang ruginya adalah peniaga itu sendiri," katanya.

Beliau menasihati pelangan yang ingin menikmati ikan patin perlu bertanya tuan punya restoran terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada membayar harga mahal.

Di Temerloh terdapat lebih 200 pengusaha ikan patin sangkar dan ikan itu dijual antara RM14 hingga RM15 sekilogram.

Bagi ikan patin sungai jenis muncung dan patin buah yang ditangkap di sungai, ia dijual kepada peraih atau kedai makan dengan harga antara RM90 hingga RM120 bergantung kepada saiz. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan