139 Sampel Makanan Dari Jepun Patuhi Tahap Radioaktif

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 139 sampel makanan dari Jepun yang dianalisis sehingga kini didapati mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif, menurut Kementerian Kesihatan malam Isnin.

Dalam kenyataan, kementerian itu berkata orang ramai tidak perlu berasa gentar dan khuatir dengan keselamatan makanan yang dimport dari Jepun.

Jepun dilanda gempa bumi kuat dengan magnitud 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac lalu yang turut mencetuskan tsunami dan membawa kerosakan kepada loji nuklear.

Kementerian Kesihatan juga berkata semua produk makanan yang dimport dari Jepun perlu diserta dengan Sijil Radioaktif bersama Sijil Analisis yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Kompeten Jepun mulai 15 April ini.

Semua pengimport tempatan dan pengeksport makanan perlu mematuhi syarat itu bagi mengelakkan makanan yang diimport dari Jepun tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam kenyataan yang sama, berkata berdasarkan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), secara umum status empat unit loji nuklear di Fukushima Daiichi masih dalam keadaan serius.

Tetapi tanda-tanda pemulihan bagi beberapa fungsi seperti tenaga elektrik dan instrumentasi yang menjalankan loji nuklear secara automatik telah dapat dilihat, katanya.

Katanya pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh Malaysia masih menunjukkan paras normal.

"Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Portal (RPM) di empat lapangan terbang antarabangsa Malaysia tidak mengesan sebarang pencemaran sehingga semalam," katanya.

Justeru itu, katanya, pemeriksaan penumpang, bagasi dan kontena dari Jepun secara rutin tidak perlu diteruskan lagi.

Ongkili juga berkata persampelan air hujan, air laut, air paip dan tanah di beberapa kawasan di seluruh negara didapati tiada pencemaran radioaktif. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan