Taib Perintah Sarawak Lama Kerana Dapat Kepercayaan Rakyat - Penganalisis

Diterbitkan: Ahad, 10 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Pemimpin pakatan pembangkang harus menilai apa jasa mereka terhadap rakyat selama ini sebelum cuba menyerang kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kata beberapa penganalisis politik.

Mereka berpendapat, adalah tidak adil bagi pemimpin daripada pakatan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengecam tempoh pemerintahan Taib yang menjangkau 30 tahun sedangkan beliau menerima mandat dan keyakinan tinggi daripada rakyat negeri ini.

Pensyarah politik dan pengajian antarabangsa daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, Sarawak tidak mungkin mengecapi kemakmuran ekonominya jika tidak kerana ketokohan Taib dan barisan kepimpinannya.

"Dalam hal ini, kita kena lihat legasi positif dan jasa beliau kepada rakyat...selama Taib memimpin negeri ini, berapa banyak faedah yang diperolehi rakyat daripada segi pembangunan, ekonomi dan sebagainya?

"Dari sebuah negeri yang hanya terkenal dengan keindahan alam semula jadi, kini Sarawak, di bawah pimpinan beliau telah mempunyai daya saing sehingga menjadi antara negeri terkaya bukan hanya kerana sumber semula jadi, bahkan sektor industri yang berkembang pesat," katanya kepada Bernama.

Shukri berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai taktik pembangkang yang memainkan isu tempoh pemerintahan selama 30 tahun Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Shukri turut mempersoalkan jasa pemimpin pembangkang veteran jika hendak dibandingkan dengan kepimpinan Taib termasuk Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh, veteran DAP Lim Kit Siang, dan Presiden PAS sendiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Untuk rekod, Nik Abdul Aziz sudah berada dalam arena politik selama 44 tahun, Karpal selama 37 tahun, Lim (42 tahun) dan Abdul Hadi (29 tahun).

"Kalau mereka minta Taib berundur kerana dah lama (berkhidmat), Nik Abdul Aziz juga harus berundur kerana beliau pun tidak sihat dan tidak kompeten, berbanding dengan Taib, daripada segi stamina dan idea pembangunan yang lebih cemerlang berbanding Mursyidul Am PAS itu sendiri.

"Pembangkang sendiri harus buka minda dan hati mereka untuk terima pilihan demokrasi rakyat negeri ini, biarkan masa depan Taib ditentukan sendiri oleh orang negeri, bukan penghasut dari pakatan pembangkang," katanya.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Atory Hussein dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) turut berpendapat, pemimpin pakatan pembangkang harus mengikuti cara kerja Taib yang lebih ke arah 'politik pembangunan' iaitu 'kurangkan politiking dan lebih banyak pembangunan'.

Ahmad Atory berkata, seharusnya pemimpin pembangkang melihat sebab mengapa Taib sering mendapat kepercayaan daripada rakyat negeri untuk memegang tampuk pemerintah walaupun sejak 30 tahun lepas.

"Taib sangat terkenal kerana jika diperhatikan, setiap pembangunan dan kemajuan di negeri ini sejak sekian lama adalah cetusan idea beliau...boleh dikatakan jika di Semenanjung kita ada Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri), di Sarawak mereka ada Tan Sri Abdul Taib Mahmud daripada segi pembangunan tempatan.

"Sedangkan pembangkang tak ada pun apa yang boleh kita ingat, kalau kita nak kenal Kit Siang dan yang lain, apa jasa mereka selain berperang di Parlimen (Dewan Rakyat)?" katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Senator Ezam Mohd Nor pula menegaskan isu mengenai peletakan jawatan Taib tidak seharusnya timbul kerana beliau sendiri telah mengumumkan perancangan persaraannya.

Taib, pada 19 Mac lepas, buat pertama kalinya mengumumkan perancangan persaraannya apabila menegaskan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini adalah yang terakhir baginya sebelum menyerahkan pucuk pimpinan kepada penggantinya.

Ezam berkata, pembangkang cuba memainkan isu itu kerana mereka sangat terdesak dan sedia maklum bahawa dasar cemerlang yang dipegang Barisan Nasional (BN) negeri tidak mampu mereka tandingi.

Beliau juga berkata, mengenai isu peralihan kuasa, pembangkang sendiri tidak konsisten kerana Nik Abdul Aziz juga telah lama memerintah Kelantan tetapi pembangunan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu lebih perlahan daripada negeri Bumi Kenyalang.

"Memang pembangkang seperti biasa tak konsisten sebab di Kelantan, Nik Abdul Aziz juga lama (berkhidmat), dan pembangunan Kelantan jauh lebih buruk, tetapi dia masih boleh bertahan...sampai sekarang tak ada pelan peralihan berbanding dengan Sarawak.

"Kalau konsisten, kita cabar dia untuk umumkan pelan peralihan pemerintahan Kelantan menjelang pilihan raya umum nanti, kalau dia beranilah," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan