Sarawak Tunggu Laporan Kajian Perkhidmatan Kereta Api - Taib

Diterbitkan: Ahad, 10 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUKAH: Kerajaan negeri masih menunggu laporan kajian kemungkinan mengenai cadangan perkhidmatan kereta api bermula dari Taman Perindustrian Samalajau di Bintulu ke Tanjung Manis di sini.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata perkhidmatan itu amat penting dengan mengambil kira peningkatan pergerakan kargo di masa depan di kawasan pembangunan SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak).

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat pentadbiran SCORE berharga RM130 juta di sini, malam semalam, beliau berkata perunding-perunding Malaysia yang dilantik masih menjalankan kajian daripada segi isi padu, kekerapan dan bagaimana ia patut dilaksanakan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Taib berkata SCORE merupakan jawapan kepada transformasi ekonomi besar-besaran khususnya di kawasan tengah negeri ini dan amnya di seluruh negeri.

"Kita sudah mempunyai sumber tenaga hijau bagi tenaga kuasa seperti projek tenaga hidro yang mampu menyalurkan bekalan tenaga dianggarkan 20,000 mega watt apabila beroperasi sepenuhnya dan simpanan arang batu yang dianggarkan kira-kira lima bilion tan.

"SCORE sudah dijamin dengan pelaburan bernilai RM13 bilion," katanya. Beliau menjangkakan jumlah pelaburan itu akan meningkat terutama dalam aktiviti teras iaitu perindustrian berat, pengeluaran makanan halal dan ekopelancongan.

Antara lain, Taib berkata kira-kira 500,000 hektar di SCORE telah dikenal pasti untuk pertanian, 40,000 hektar untuk projek akuakultur dan kira-kira 6,000 hektar untuk industri berat dan sokongan.

"Kita juga mengunjurkan pendapatan sebanyak RM5 bilion daripada sumber laut.

"Semua ini pastinya memerlukan kemudahan infrastruktur dan pembangunan hartanah di samping menjadi tarikan kepada tenaga kerja kerana SCORE dijangka menjana 1.6 juta peluang kerja menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata keadaan itu akan dapat mencegah penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar sepertimana dialami banyak kawasan pada masa ini dan sekiranya penghijrahan itu berterusan ia akan memberikan kesan negatif. Mengenai Mukah, beliau berkata semua pembangunan itu akan memberikan impak paling besar kepada daerah ini berikutan kedudukan lokasinya yang strategik.

"Saya juga sedang memikirkan untuk melaksanakan konsep bandar raya pintar bagi Mukah bagi mewujudkan kehidupan lebih selesa kepada penduduknya menerusi pembangunan besar-besaran di kawasan sekitarnya," katanya.

Beliau berkata satu kajian akan dijalankan sebagai persediaan mengenai kemungkinan Mukah mencapai status bandar raya dalam waktu terdekat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan