Beri Peluang Kepada Saya - Martin Ben

Diterbitkan: Ahad, 10 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Calon muka baru Barisan Nasional (BN), Martin Ben mahu masyarakat Bidayuh, pengundi majoriti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup untuk memberi peluang kepadanya pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Martin, 49, timbalan pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bahagian Kedup, berdepan pertandingan empat penjuru dengan Belayong Jayang, 52, dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Lainus Andrew Luwak, 68, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Bebas, Amin Banti, 48.

"Bagi diri saya secara peribadi, setiap undi berharga. Saya akan cuba yang terbaik dengan sokongan BN dan dasar-dasar kerajaan sedia ada untuk membawa pembangunan kepada semua kaum di Kedup," katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak akan bergantung kepada jasa mendiang bapanya, bekas menteri muda Datuk Michael Ben, yang pernah menjadi wakil rakyat Tebedu, yang kemudiannya terbabit dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk membentuk DUN Kedup.

Walaupun yakin peluang PBB di Kedup adalah amat baik ketika ini, namun katanya jentera pilihan raya BN tidak akan alpa. LAGI SARAWAK-KEDUP (FOKUS BERITA) 2 KUCHING Dalam menangani isu tanah hak adat pribumi (NCR) yang biasanya dimainkan oleh pembangkang pada setiap pilihan raya, beliau berkata Kedup beruntung kerana banyak tanah NCR sedang dibangunkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Salcra).

"Selain daripada sejumlah kecil tanah NCR, kebanyakan tanah di kawasan itu sudah disukat dan diberikan geran," katanya dan menurutnya jentera pilihan raya BN juga telah turun padang untuk memberi penjelasan mengenai propaganda yang disebarkan oleh pembangkang mengenai perkara itu.

Sebagai seorang daripada 10 muka baru yang dicalonkan PBB, Martin berkata bukan mudah untuk mencontohi penyandang kerusi DUN Kedup, Frederick Bayoi Manggie yang beliau sifatkan sebagai "mentor politik" beliau. Walaupun hampir 74 peratus daripada 17,466 pemilih berdaftar di kawasan itu ialah masyarakat Bidayuh, diikuti Cina (18 peratus) dan Melayu/Melanau (6.5 peratus), beliau berkata pembangunan dilaksanakan secara samarata di semua 108 kampung di Kedup.

Bulan lepas, kehadiran beberapa pemimpin tertinggi negara ke program Sejiwa Senada di bandar Serian, kira-kira 65 km dari sini, memaparkan Kedup sebagai kubu kuat BN.

Apa yang paling penting dan tercatat dalam sejarah kawasan iaitu semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama pemimpin tempatan melawat ke kawasan itu untuk bertemu dengan rakyat.

Kampung Bunan Punok dan Kampung Bunan Gega ialah dua kampung Bidayuh di Kedup yang boleh dikatakan sebagai kampung moden berbanding dengan kampung lain di negeri ini kerana telah mendapat manfaat daripada skim bekalan elektrik luar bandar.

Terdiri daripada 250 isi rumah, selain jalan raya berturap yang terdapat di kedua-dua kampung itu, mereka juga menikmati bekalan elektrik dan bekalan air yang disalurkan menerusi projek "gravity feed" selain kemudahan klinik kesihatan, sebuah sekolah rendah dan sebuah balai polis.

Sekolah menengah terdekat ialah SMK Tebakang, iaitu kira-kira 15 minit perjalanan.

Sementara itu, Borgia Badas, 50, petani di Kampung Bunan Punok, mengimbau ketika zaman kecilnya di mana untuk pergi ke Serian penduduk kampung perlu menaiki bot dan kemudian berjalan kaki untuk balik ke kampung. "Kadang kala perjalanan ke Serian boleh mengambil masa sehari tetapi kini dengan adanya jalan raya telah memudahkan kami membawa hasil pertanian kami untuk dijual di Serian" katanya dan berharap kerajaan akan memasang lampu di jalan berkenaan.

Seorang lagi petani, Lawanance Aejore, 34, dari Kampung Bunan Gega gembira kerana kerajaan telah menunaikan janjinya kepada rakyat.

"Apa yang mereka (kerajaan) janjikan, mereka tunaikannya. Apa yang kami mahu ialah kerajaan membantu membangunkan lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk di sini," katanya.

Ketua masyarakat Kampung Bunan Gega, Albert Andrew Ruha gembira dengan lawatan Najib ke Serian untuk beramah mesra dengan rakyat biasa seperti dirinya.

"Sejak dulu lagi, kami sememangnya menyokong BN. Penduduk di sini tidak pernah diabaikan oleh kerajaan dalam semua aspek pembangunan," katanya.

Katanya oleh kerana kampung berkenaan terletak jauh di pedalaman, wujud masalah telekomunikasi sebelum ini sehinggalah beberapa tahun lepas.

"Tiada liputan," katanya sebagai perbandingan dengan keadaan di kawasan itu sekarang yang kini terdapat liputan untuk penggunaan telefon bimbit daripada semua syarikat telekomunikasi. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan