Jangan Gadai Masa Depan Ikut Janji Manis Pembangkang, Kata Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BINTULU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan agar rakyat di Sarawak tidak menggadaikan masa depan mereka dengan mempercayai janji-janji manis yang ditabur pembangkang dalam kempen pilihan raya sekarang.

"Masa depan kita, kita tak boleh gadai hanya kerana dengar cakap dia lagi hebat, dia (pembangkang) menjanjikan bulan dan matahari...ini bukan main-main...ini masa depan anak-anak kita," katanya semasa berucap sebelum melancarkan 12 pusat prasekolah Sedidik SEDC di Rumah Panjang Sait, Tatau dekat sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata keadaan pihak pembangkang sekarang umpama "nyawa-nyawa ikan" dan mereka hanya datang ke Sarawak untuk "menagih nyawa" sebagai bekalan untuk meneruskan hidup.

Selain itu, beliau berkata antara kandungan manifesto pembangkang yang menjanjikan elaun sebanyak RM200 diberikan kepada setiap pelajar di Sarawak juga umpama "cakap tidak serupa bikin".

"Saya tanya kenapa mahu bagi kepada orang Sarawak sahaja, yang dia sudah jadi kerajaan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dia tak bagi satu sen pun...bohong!

"Jadi dia sudah tipu sama kita, jangan kita terpedaya dengan hanya kerana dia kata akan bagi RM200 maka kita gadaikan masa depan negara kita dan rakyat," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak 54 tahun dahulu membelanjakan sebanyak RM35 bilion setahun bagi tujuan pendidikan di seluruh negara.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata di bawah peruntukan sebanyak RM220 bilion bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), peruntukan bagi bidang pendidikan adalah paling banyak iaitu sebanyak 26 peratus, menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memajukan taraf pendidikan rakyat.

"Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak mengabaikan kehidupan rakyat dan sentiasa ingat atas tanggungjawab kita sebagai sebuah kerajaan, iaitu kita mahu membela nasib rakyat kita tak kira di kampung, di pedalaman, di bandar.

"Di mana ada saja rakyat yang kita harus bantu dan membela, kita akan terus memberikan pembelaan kepada mereka ini semua," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan