Ceroboh Perairan Malaysia: Wisma Putra Hantar Nota Bantahan Kepada Indonesia - Berita Semasa | mStar

Ceroboh Perairan Malaysia: Wisma Putra Hantar Nota Bantahan Kepada Indonesia

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar telah menghantar nota bantahan diplomatik kepada pihak berkuasa Indonesia kerana tindakan Jabatan Pengawasan Sumberdaya Kelautan dan Perikanan republik itu menceroboh perairan Malaysia di Selat Melaka dan menahan dua bot nelayan tempatan.

Seorang pegawai Wisma Putra ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara tersebut dan mengatakan bahawa nota bantahan itu dihantar semalam.

Akhbar tempatan pada Sabtu, melaporkan dua bot nelayan tempatan kelas C dari Hutan Melintang Perak telah ditahan oleh pihak jabatan berkenaan di Selat Melaka semalam.

Sementara itu, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika dihubungi berkata sungguhpun bot itu milik rakyat tempatan namun kesemua 10 orang awak-awak bot berkenaan merupakan rakyat Thailand dan Myanmar.

Katanya, tindakan pihak berkuasa Indonesia itu menyalahi undang-undang antarabangsa kerana mencerobohi perairan negara ini.

"Pihak APMM masih tidak mengetahui di manakah kedua-dua buah bot itu ditahan dan sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut," kata jurucakap itu. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan