Ubahlah Diri Sendiri Dahulu - Kim Shin

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Penyandang kerusi DUN Senadin daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lee Kim Shin hari ini menempelak slogan pembangkang "Jom Ubah Sarawak" yang gagal diamalkan oleh pembangkang itu sendiri.

Katanya pembangkang bukan sahaja gagal menghulur tangan untuk memberi sumbangan demi kesejahteraan rakyat, sebaliknya lebih suka meneruskan dengan cakap-cakap kosong dan melemparkan tuduhan tidak berasas terutamanya terhadap parti beliau, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Bercakap kepada Bernama selepas menyaksikan pembukaan rasmi laluan koridor berbumbung bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tudan di sini, beliau berkata sekolah itu hanyalah satu daripada contoh hasil usaha SUPP selama bertahun-tahun untuk mewujudkan lebih banyak peluang pendidikan.

"SJKC Tudan dan kesemua kemudahan ini telah pun dibina oleh SUPP. Tiada walau satu sen pun, tiada walau sebiji batu pun, daripada mereka (pembangkang). Apa yang mereka buat hanyalah bercakap. Sebelum mereka minta rakyat supaya berubah, mereka sendiri yang harus berubah memandangkan mereka hanyalah 'parti cakap', bukan parti bertindak," katanya.

Beliau berkata pembangkang boleh melakukan lebih baik lagi daripada sekadar bercakap atau memberi alasan bahawa mereka tidak dapat membantu membina sekolah kerana mereka tidak berada dalam kerajaan.

"Mereka masih boleh mengutip derma tetapi tidak berbuat apa-apa,", katanya.

Lee, yang bertanding bagi penggal keempat sebagai wakil rakyat selepas memenangi kerusi DUN Senadin pada 1996, akan berdepan Pengerusi PKR Miri Dr Michael Teo Yu Keng dalam pilihan raya ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata pembinaan SJKC Tudan adalah hasil kerja keras Lee sejak beliau menjadi Adun Senadin pada 1996.

Beliau berkata kewujudan sekolah tidak hanya memanfaatkan kanak-kanak Cina dalam kawasan pilihan raya yang sedang berkembang pesat itu tetapi turut membuka peluang pendidikan bagi kanak-kanak bukan Cina di kawasan berkenaan.

"Kira-kira 50 peratus pelajar di sekolah ini adalah Bumiputera dan ini menunjukkan bahawa pendidikan Cina diterima baik oleh semua masyarakat di sini," katanya.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata kerajaan persekutuan dan negeri juga banyak memberi sumbangan kepada sekolah berkenaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan