Pertahan Jawatan Timbalan Presiden PAS: Nasharuddin Belum Buat Keputusan

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa masih belum membuat keputusan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Jun ini.

Beliau telah menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2007.

Kata Nasharuddin, masih terlalu awal untuk beliau membuat keputusan tersebut memandangkan pencalonan di peringkat kawasan dan cawangan PAS baru sahaja bermula.

“Awal lagi saya nak umumkan keputusan, lagi pun saya sibuk dengan persiapan pilihan raya Sarawak.

“Saya perlukan sedikit masa lagi sebelum buat keputusan ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok, berkata demikian ketika ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan nombor dua parti itu pada Muktamar Agung PAS yang ke-57, yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Jun ini.

Pada pemilihan 2009, Nasharuddin dicabar oleh dua bekas Naib Presiden iaitu, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Husam memperoleh 281 undi berbanding Nasharuddin yang mendapat 480 undi untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak 2007. Sementara Mohamad Sabu pula hanya mendapat 261 undi.

Pemilihan PAS pusat pada tahun ini dijangka menarik perhatian ramai kerana terdapat cakap-cakap kononnya Nasharuddin tidak akan mempertahankan jawatannya.

PAS mempunyai 171 bahagian di seluruh negara dan setiap bahagian perlu menghantar pencalonan untuk jawatan tertinggi PAS pusat iaitu, presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan