Memorandum Minta PM Campur Tangan Isu MAYC

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lebih 300 belia daripada Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) hari ini menyerahkan memorandum meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan itu sejak setahun lepas.

Memorandum setebal sembilan muka surat itu diserahkan kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Ahmad Azmir Abdul Rahman, di Bangunan Perdana Putra di sini manakala satu lagi diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Memorandum itu mengandungi antara lain keraguan ahli persatuan terhadap kredibiliti Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed yang juga pengerusi panel yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut persatuan itu, kerana beliau didakwa berat sebelah.

Ia turut mendakwa Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan di bawah kepimpinan Tan Sri Syed Hamid Albar yang diadakan 26 Sept tahun lalu penuh dengan 'pelbagai misteri dan kecacatan'.

Wakil kumpulan itu, Ku Iskandar Ku Saad, yang juga Presiden Majlis Belia Kedah, berkata kehadiran wakil-wakil belia dari seluruh Malaysia hari ini menunjukkan kesungguhan mereka yang mahu isu itu diselesaikan segera.

Terdahulu, kumpulan yang lengkap berkemeja T berwarna merah dengan tulisan "Suara Belia-Selamatkan MAYC" itu berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini seawal 8 pagi, sebelum berarak secara aman dengan diawasi lebih 30 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya ke KBS di Presint 4, bagi menyerahkan memorandum sama kepada Ahmad Shabery.

Memorandum itu diterima oleh setiausaha akhbar beliau, Hisham Abdul Hamid. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan