Perebutan Bagi 71 Kerusi DUN Sarawak Bermula Hari Ini

Diterbitkan: Rabu, 6 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Perebutan bagi 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) bermula Rabu dengan calon-calon mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini.

Mereka yang berhasrat bertanding diberi masa satu jam bermula 9 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan mereka di pusat-pusat penamaan calon yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Borang pencalonan itu kemudiannya akan dipaparkan kepada umum selama satu jam dari 10 pagi bagi sebarang bantahan.

Bagi mereka yang diterima menjadi calon, mempunyai masa 10 hari untuk berkempen bagi memancing sokongan untuk dipilih sebagai wakil rakyat, kurang sehari berbanding tempoh kempen pada pilihan raya negeri 2006.

Calon-calon berkenaan yang mewakili pelbagai parti politik atau bertanding sebagai calon Bebas, akan berusaha memancing sokongan daripada sejumlah 979,796 pemilih berdaftar, termasuk 18,363 pengundi pos.

SPR menetapkan setiap calon perlu membayar deposit RM5,000 untuk bertanding dan RM3,000 untuk bahan kempen.

Calon-calon yang memutuskan untuk menarik diri selepas mengemukakan borang pencalonan layak dibayar balik wang deposit sekiranya penarikan itu dibuat dalam tempoh pencalonan iaitu dari 9 pagi hingga 10 pagi.

Pengundian ditetapkan pada 16 April di 1,749 pusat pengundian.

Petugas pilihan raya Barisan Nasional (BN) adalah yang terbanyak berikutan empat parti komponen BN negeri akan bertanding di kesemua 71 kerusi.

BN negeri terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), telah bersepakat mengenai formula pembahagian kerusi berlandaskan semangat perkongsian kuasa parti gabungan berkenaan.

PBB, tunjang BN negeri, diperuntukkan jumlah kerusi terbanyak iaitu 35 kerusi manakala SUPP sebanyak 19 kerusi, PRS (sembilan kerusi) dan SPDP (lapan kerusi).

Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri, BN menguasai 63 kerusi daripada 71 kerusi.

BN mengumumkan barisan calonnya pada Ahad lepas, mengekalkan 52 penyandang dan memperkenalkan 19 muka baru.

Pengerusi BN Sarawak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang akan memasuki penggal ketujuh menerajui negeri ini, akan mempertahankan kerusi DUN Balingian manakala Presiden SUPP dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan akan mempertahankan kerusi DUN Piasau.

Timbalan Presiden PBB dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu akan mempertahankan kerusi DUN Layar, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing akan mempertahankan kerusi DUN Baleh dan Presiden SPDP Datuk William Mawan, mempertahankan kerusi DUN Pakan.

Bagi parti-parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 49 kerusi, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) (dijangka bertanding di 27 kerusi), DAP (15 kerusi) dan PAS (lima kerusi). Parti lain yang dijangka bertanding ialah Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR).

Sementara itu, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), sebuah parti baru yang pendaftarannya masih belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS), akan bertanding sebagai calon Bebas di beberapa kerusi. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan