Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah Akan Percepat Pendengaran Kes

Diterbitkan: Rabu, 6 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi berkata, penubuhan mahkamah khas untuk mendengar kes rasuah akan mempercepatkan proses perbicaraan disamping menjamin sistem keadilan yang lebih baik kepada masyarakat.

Beliau menambah, kes-kes rasuah lazimnya mengambil tempoh masa yang lama untuk diselesaikan berikutan ia melibatkan saksi yang ramai dan dokumen-dokumen yang perlu dianalisa oleh mahkamah dan pihak yang terlibat dalam perbicaraan tersebut.

Menurut beliau, setakat ini terdapat 376 kes rasuah yang masih tertangguh dengan kes yang paling lama didaftarkan pada tahun 2008 manakala bagi kes jenayah komersial, kes yang tertangguh ialah sebanyak 1,988 kes dengan empat daripadanya merupakan kes tahun 1999.

Justeru itu, Zaki berkata, pengkhususan itu akan dapat memastikan kes-kes seumpamanya dapat didengar oleh hakim berpengalaman yang dapat menumpukan tumpuan kepada sesuatu jenis kes.

“Hakim yang dilantik juga adalah berdasarkan merit selepas perbincangan yang panjang diadakan untuk pemilihan mereka,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengakui bahawa penangguhan kes membawa kesan yang buruk kepada pengadu dan juga saksi.

“Penangguhan akan menyebabkan saksi terlupa, barang bukti dan dokumen hilang. Ia akan mendatangkan kebaikan kepada tertuduh.

“Ini bukan keadilan dan saya juga pasti peguam juga tidak mahu sesuatu kes ditangguhkan,” katanya semasa berucap merasmikan Mahkamah Khas Jenayah Rasuah di sini, pada Rabu.

Turut hadir pada perasmian tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohammad.

Sehingga kini, terdapat 14 buah mahkamah khas untuk mendengar kes rasuah dan tiga daripadanya masing-masing terletak di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Sabah juga mempunyai sebuah mahkamah khas rasuah.

Selain itu, Zaki memberitahu penangguhan juga boleh disebabkan oleh ketidakhadiran pihak-pihak yang terlibat, sama ada hakim, pihak pendakwaan, tertuduh dan peguam bela serta saksi.

“Melalui laporan harian, saya dapati kebanyakkan kes tidak dapat didengar dan perlu ditangguhkan kerana pihak pendakwaan tidak menerima kertas siasatan atau pegawai penyiasat tidak membawa barang bukti.

“Ia juga boleh diakibatkan kerana sepina tidak dapat diserahkan kepada saksi atau kerana saksi polis tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri tugas lain,” tambah beliau.

Pada majlis sama, Zaki juga berkata, walaupun jumlah hakim dan mahkamah telah bertambah, jumlah peguam yang mengendalikan kes jenayah tidak menunjukkan peningkatan.

“Jumlah peguam jenayah juga perlu ditingkatkan dan menurut hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes, peguam yang sama akan mengendalikan kes-kes penting di hadapan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Zaki menambah, Majlis Peguam Selangor sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk meningkatkan jumlah peguam.

“Majlis Peguam juga memberi jaminan bahawa mereka akan menggalakkan lebih ramai peguam muda untuk membuat pengkhususan dalam undang-undang jenayah,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan