Anak Jati Sarawak Ketua Pengarah Penyiaran Baru

Diterbitkan: Rabu, 6 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Jabatan Penyiaran atau Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakar sejarah apabila melantik seorang pegawai kanan wanita yang juga anak jati Sarawak Datuk Norhyati Mohd Ismail sebagai ketua pengarah penyiaran yang baru.

Norhyati, 57, menggantikan Datuk Ibrahim Yahaya, berkuat kuasa 16 Mac lepas.

Ibrahim, 51, yang tempoh kontrak perkhidmatannya selama dua tahun berakhir 15 Mac lepas, dilantik sebagai penasihat media kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dalam satu kenyataan hari ini berkata Norhyati, yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran, sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik).

Anak jati kelahiran Kuching itu adalah lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan) dari Universiti of Southern Queensland, Australia pada tahun 2004 dan juga Diploma Sebaran Am (Penyiaran) dari Institut Teknologi Mara pada tahun 1977.

Beliau pernah menyandang jawatan Penerbit TV RTM Sarawak (1978-1991); Pengawal TV RTM Sarawak (1991-1994); Pengawal Hiburan TV di Ibu Pejabat Jabatan Penyiaran (1994-1997); Pengarah Siaran TV di Ibu Pejabat (1997-1998).

Beliau juga pernah menjadi Pengarah RTM Negeri Sarawak (1998-2005); Pengarah Urusan Rancangan Radio di Ibu Pejabat (2005); Pengarah Urusan Rancangan TV (2005-2008) dan seterusnya Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) dari 2009 hingga Mac 2011.

Beliau menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran 'Datuk' pada tahun 2007. Norhyati merupakan Ketua Pengarah yang ke-11 sejak penubuhan RTM pada 1946.

Pada tahun ini, RTM menyambut ulang tahunnya yang ke-65.

Antara pencapaian Norhyati ialah menerima Anugerah Khas Angkasapuri pada 2006, Penyelaras Kerjasama dan Produksi Bersama Program TV ASEAN/ASIA (2005-kini), Penggubal Soalan PTK Penerbit Rancangan Gred B41 dan B44 (2004-2006), Panel Temu duga Untuk Kenaikan Pangkat Penerbit Rancangan Bakat dan Seni Gred B27 dan B41 (2003-2005), Penerima Anugerah Kualiti, RTM (2003), dan Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Penerangan (1999 dan 2000).

Norhyati juga aktif sebagai anggota Majlis Wanita Sarawak Penggal V & VI, Penasihat Media Pertubuhan Pengguna Negeri Sarawak serta anggota dalam Angkatan Zaman Mansang, Pertubuhan Wanita Sarawak, Alumni UiTM Sarawak, HIKMAH, Old Marian, Old Thomian, Penyiar (Persatuan Kebangsaan Penyiar Malaysia), Kelab Rekreasi dan Sukan RTM, Puspanita dan Kelab Kebajikan Kakitangan RTM.

Beliau turut menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) Sarawak dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) Sarawak pada 2000 serta Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) Sarawak pada 1993. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan