Kerajaan Belum Hasrat Naik Harga Petrol RON 95 Dalam Masa Terdekat

Diterbitkan: Selasa, 5 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum berhasrat menaikkan harga petrol RON 95 dalam tempoh yang terdekat walaupun harga semasa minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Lim berkata kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dengan hanya menaikkan harga minyak RON 97 baru-baru ini.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak memberi jaminan harga minyak RON 95 akan terus kekal, ini disebabkan harga bahan api dalam pasaran dunia itu adalah tinggi sehingga mencecah US$108 setong," katanya menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai langkah kerajaan berikutan kenaikan harga petrol RON 97 baru-baru ini pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Kenaikan petrol RON 97 dengan harga baru dijual pada RM2.70 seliter bermula 1 April lepas, bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini.

Pada 31 Jan lepas, harga RON 97 yang diapung mengikut harga pasaran semasa meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter.

Menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai jumlah perbelanjaan kos subsidi yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam memastikan harga barangan kekal rendah di pasaran, Lim berkata sejumlah RM23.1 bilion diperuntukkan bagi subsidi, insentif dan bantuan pada tahun lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM14.2 bilion adalah untuk subsidi dan RM543.6 juta untuk insentif manakala RM8.4 bilion untuk bantuan, katanya.

"Daripada RM14.2 bilion perbelanjaan subsidi itu, sebanyak RM11.5 bilion atau 81 peratus dibelanjakan bagi memastikan harga barangan tertentu berada di bawah harga pasaran.

Subsidi itu seperti bahan api iaitu petrol, diesel dan Gas memasak (LPG) sebanyak RM9.6 bilion, skim penstabilan minyak masak (RM828 juta), subsidi gula RM708.2 juta, subsidi beras (RM287.9 juta) dan tepung gandum (RM888.2 juta)," katanya.

Beliau berkata hasil daripada Program Rasionalisasi Subsidi yang dimulakan pada 16 Julai tahun lepas melibatkan subsidi gula dan bahan api, kerajaan telah dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM750 juta pada tahun lepas.

"Program seterusnya pula dilaksanakan pada 4 Dis tahun lepas melibatkan subsidi bagi kedua-dua bahan yang sama dan langkah ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM1.18 bilion," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan