Serangan Virus: Pusasda Diletak Dalam Keadaan Berjaga-Jaga

Diterbitkan: Isnin, 4 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas 18 pelatih dari Polis Diraja Malaysia diserang virus Adeno dan Influenza A (H1N1) sejak 30 Mac lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pelatih polis dan perajurit muda di pusat itu dibekalkan penutup hidung, ubat antiseptik dan peraturan baru yang menghalang hubungan terus dengan orang dari luar untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Kita bagaimanapun masih membolehkan keluarga melawat mereka tetapi di bawah pemerhatian ketat pegawai yang bertanggungjawab," katanya ketika melawat Pusasda dengan diiriingi pegawai tentera, polis dan perubatan daerah di sini, Isnin.

Ahmad Zahid berkata bahawa daripada 18 pelatih polis itu, empat disahkan positif mempunyai kuman Aidino dan empat lagi H1N1.

"Latihan untuk pelatih polis yang berada Pusasda ditangguhkan buat sementara waktu tetapi latihan akan diteruskan seperti biasa untuk perajurit muda," katanya.

Ahmad Zahid berkata bahawa pada masa ini, tidak ada perajurit muda atau rekrut tentera yang diserang dengan virus itu kecuali lima orang yang diletakkan dalam status pemerhatian disebabkan suhu badan mereka tinggi.

Pusat itu mempunyai 1,000 pelatih polis manakala tentera pula mempunyai 2,138 perajurit muda.

PDRM menempatkan pelatih mereka di Pusasda sejak awal tahun ini sebagai sebahagian daripada program latihan "Blue Ocean Strategy" yang dibuat bersama dengan pihak tentera.

Wartawan yang dibawa melawat pusat itu hari ini melihat latihan tentera untuk perajurit muda seperti kawad diteruskan seperti biasa dan mereka diwajibkan memakai topeng khas.

Tali kuning dari PDRM digunakan sebagai sempadan kuarantin untuk blok-blok yang diduduki pelatih polis bagi mengelak mereka daripada keluar manakala pergerakan mereka dikawal ketat oleh pegawai polis dan kakitangan Jabatan Kesihatan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan