Saya Bukan Calon BN Ba'Kelalan - Idris Jala

Diterbitkan: Isnin, 4 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Datuk Seri Idris Jala sendiri pada Isnin menamatkan spekulasi bahawa beliau merupakan "calon misteri" Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'kelalan, yang nama calonnya belum diumumkan bagi pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April.

"Saya tidak akan terlibat dalam pilihan raya. Saya tahu spekulasi di akhbar-akhbar yang menyatakan bahawa saya mungkin calon misteri itu.

"Saya boleh mengesahkan bahawa saya sama sekali tidak akan bertanding dalam pilihan raya," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Bernama menerusi SMS di sini, Isnin.

BN semalam mengumumkan senarai nama 70 calon pilihan raya parti itu tetapi menimbulkan tanda tanya apabila tidak menamakan calon Ba'kelalan.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Adenan Satem yang mengumumkan senarai nama itu berkata nama calon Ba'kelalan hanya akan diumumkan menjelang hari penamaan calon pada Rabu. Adenan memberitahu media bahawa calon itu masih "misteri" buat masa ini dan enggan menyatakan sama ada Idris merupakan "calon misteri" yang dimaksudkan.

Akhbar tempatan The Borneo Post hari ini memetik Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan sebagai berkata: "Calon (Ba'Kelalan) kekal sata rahsia. Perdana Menteri mengetahuinya dan beliau pasti BN akan meletakkan calon yang tepat."

Kerusi Ba'kelalan di kawasan pedalaman daerah Baram, yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, adalah satu daripada lapan kerusi yang diperuntukkan kepada SPDP, satu daripada empat parti komponen BN Sarawak.

Tiga lagi parti komponen BN ialah PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sejumlah 71 kerusi menjadi rebutan pada pilihan raya negeri kali ke-10 ini.

Idris, yang juga menteri bertanggungjawab berhubung Program Transformasi Kerajaan, dalam SMSnya kepada Bernama turut menolak kemungkinan beliau akan bertanding kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

"Apabila selesai sahaja tugas saya (di Jabatan Perdana Menteri) saya akan kembali ke dunia korporat. Tidak pening kepala," kata beliau.

Idris merupakan pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines sebelum beliau dilantik menganggotai Kabinet pada 2009.

Beliau juga CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memantau beberapa teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi beberapa kementerian. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan