PERSB Letak Calon Bebas Kerana Belum Dapat Kelulusan ROS

Diterbitkan: Isnin, 4 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), sebuah parti baru yang masih belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS), akan meletakkan calonnya sebagai calon bebas di beberapa kawasan pilihan raya negeri Sarawak, termasuk di Baram.

Pengurus kempen parti itu Zurina Amnan berkata parti telah mengenal pasti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, Telang Usan, Jepak, Dalat, Belaga, Daro, Kedup, Belawai, Kakus, Pantai Damai, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Kemena, Semop, Balai Ringin dan Batu Danau untuk meletakkan calonnya.

"Ini baru sebahagian (daripada kawasan yang akan ditandingi) sebab kita bercadang untuk bertanding di sebanyak mungkin kawasan dalam pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Pada 1 April lepas, presiden penaja PERSB, Noh Bakeri berkata parti itu akan bertanding bagi 38 kerusi pada pilihan raya 16 April ini, dengan beliau sendiri akan bertanding di DUN Daro.

Pada pilihan raya negeri 2006, calon Barisan Nasional (BN) Murni Suhaili daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi kerusi itu tanpa bertanding.

Zurina berkata kehadiran calon-calon ini adalah sebagai alternatif kepada pengundi untuk membuat pemilihan dan beliau yakin parti itu mempunyai potensi untuk menang.

Jawatankuasa penaja PERSB yang dipengerusikan Noh ditubuhkan awal tahun lepas dan telah mengemukakan permohonan kepada ROS untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada April 2010. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan