WHF 2011 Fokus Produk, Kewangan Syariah Sebagai Nadi Ekonomi Halal

Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Abdalhamid dalam satu temuramah bersama mStar Online sempena WHF 2011 yang akan berlangsung pada 4 hingga 5 April ini
Abdalhamid dalam satu temuramah bersama mStar Online sempena WHF 2011 yang akan berlangsung pada 4 hingga 5 April ini

KUALA LUMPUR: Forum Halal Sedunia 2011(WHF) yang masuk tahun keenam penganjurannya tahun ini akan memberi tumpuan terhadap produk halal dan perbankan syariah dalam usaha membangunkan industri halal di peringkat antarabangsa.

Perkembangan pesat dalam sektor ini memberi petunjuk konsep halal dalam perniagaan komersial mampu memberi sumbangan besar dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pengarah WHF, Abdalhamid Evans berkata, konsep halal kini turut diaplikasikan dalam kebanyakan sistem perbankan di Malaysia dan luar negara.

"Dianggarkan industri halal sedunia dalam bidang makanan dan pembuatan kini bernilai RM7.5 trilion dan dijangka terus meningkat pada kadar 12 hingga 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Gabungan industri halal dan perbankan berlandaskan syariah akan memberi nilai lebih besar menjangkau RM9 trilion," katanya kepada mStar Online.

Abdalhamid berkata, forum yang melibatkan penyertaan delegasi dari 40 buah negara tahun ini buat pertama kalinya akan memberi fokus terhadap industri makanan halal dan sistem kewangan Islam.

Jelasnya, walaupun produk dan kewangan syariah merupakan dua sektor berbeza namun kedua-duanya berkait rapat dan menjadi tunggak ekonomi halal.

"Selain mahu makan dan menggunakan produk halal, masyarakat hari ini juga mahukan sumber kewangan yang halal dalam kehidupan mereka," ujarnya.

Tambah beliau lagi, situasi ini berlaku kerana kebanyakan masyarakat dunia hari ini sedar akan kepentingan konsep halal dan berusaha menerapkan konsep ini sebagai satu gaya hidup.

Selain syarikat perbankan, syarikat multinasional, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), ahli perniagaan, saintis, penyelidik dan syarikat pembekal turut mengamalkan konsep ini dalam memajukan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Abdalhamid turut menjelaskan, walaupun pasaran halal dalam tempoh sepuluh tahun lalu menunjukkan rekod tidak memberangsangkan namun ia terus berkembang.

"Dulu dapat dikatakan pasaran ini sebagai tidak wujud. Sehinggalah lima tahun kebelakangan ini, keadaan berubah apabila produk dan perkhidmatan berkonsepkan halal berkembang membentuk sebuah industri global.

"Tidak hairanlah kerajaan melihat industri ini bakal menjadi sebahagian daripada agen pembangunan negara pada masa akan datang," katanya lagi.

Tahun ini, perbankan Komersial HSBC Amanah terlibat secara langsung dalam WHF yang berlangsung pada 4 dan 5 April ini sebagai 'penaja platinum'.

Perbankan ini mempunyai kepakaran dalam menstruktur dan menawarkan penyelesaian kewangan bagi rangkaian pembekal dan dagangan berlandaskan syariah untuk membantu pelanggannya mengetengahkan perniagaan halal ke peringkat global.

Selain itu, Abdalhamid berkata forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini akan memberi fokus terhadap pembangunan standard halal sedunia termasuklah bagaimana standard itu dapat diaplikasi sepenuhnya dalam kehidupan dan perniagaan.

Skop-skop perniagaan akan diperluaskan agar industri ini sentiasa tampil relevan dengan masyarakat dan pasaran global.

"Bidang kosmetik, farmasi, penjagaan diri, pengangkutan, kewangan dan logistik merupakan bidang yang menunjukkan perkembangan positif selepas industri makanan halal menunjukkan pertumbuhan mendadak," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan