KPDNKK Rampas DVD Cetak Rompak Bernilai RM38,000

Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anggota KPDNKK memeriksa DVD cetak rompak yang dirampas dalam sebuah premis di Shah Alam.
Anggota KPDNKK memeriksa DVD cetak rompak yang dirampas dalam sebuah premis di Shah Alam.

SHAH ALAM: Sepasukan 30 orang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menyerbu empat lokasi premis yang menjual cakera padat cetak rompak di Seksyen 7, Seksyen 24 dan Seksyen 17, di sini Khamis lalu.

Serbuan itu dilakukan serentak bermula pukul 8 malam di semua lokasi terbabit dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Aminuddin Muhammad, serbuan itu dibuat berdasarkan hasil intipan yang dijalankan oleh anggotanya selama seminggu dan juga hasil maklumat orang ramai.

“Serbuan ini dibuat berdasarkan intipan ke atas setiap lokasi berkenaan, dan hasil dari maklumat yang disalurkan oleh orang ramai turut membantu pihak kita dalam operasi ini.

“Daripada semua lokasi sasaran, dua tangkapan telah dibuat dan salah satunya melibatkan dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang menjaga premis di salah satu lokasi serbuan,” katanya.

Menurut beliau, dua PATI berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya sementara suspek dalam satu tangkapan lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

“Dalam operasi ini, pihak kami berjaya merampas DVD cetak rompak di mana nilai keseluruhannya adalah sebanyak RM38,000 namun operasi kami untuk membanteras gejala ini tidak akan berakhir di sini. Pihak kami akan terus menjalankan intipan dan siasatan bagi melumpuhkan aktiviti penghasilan dan jualan DVD cetak rompak," katanya.

Beliau menambah, siasatan akan dilakukan di bawah perintah Perihal Dagangan Label Cakera Optik, Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Hakcipta 1987.

Operasi berakhir pada pukul 6 pagi Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan