IPTA/IPTS Sedia Lebih 200,000 Tempat Untuk Sesi 2011/2012: Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan swasta tempatan menyediakan lebih 200,000 tempat untuk para pelajar bagi kemasukan sesi akademik 2011/2012, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia adalah bagi pengajian di peringkat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf, peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah.

Beliau berkata selain itu 100,500 tempat disediakan bagi pengambilan tahun 2011 kepada pelajar yang akan mengikuti kursus dalam bidang teknikal, latihan vokasional dan kemahiran di 27 buah politeknik dan 323 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Menurutnya, agenda utama kerajaan adalah untuk memartabatkan pendidikan dalam negara dengan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan buat semua.

"Dengan adanya peluang pendidikan tinggi yang tersedia di IPT awam dan swasta, serta latihan teknikal dan vokasional dalam negara, saya percaya para pelajar mempunyai banyak pilihan untuk mengikuti kursus yang diminati dan seterusnya memenuhi impian yang terpendam sejak sekian lama," katanya ketika merasmikan majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) Kali ke-7, "Jom Masuk U" Tahun 2011 di The Mines International Exhibition Centre, Seri Kembangan di sini, Sabtu.

Karnival dua hari anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia itu adalah satu program untuk memberi maklumat terperinci kepada para pelajar mengenai kursus yang ditawarkan di institusi pendidikan tempatan serta prospek kerjaya sesuatu bidang pengajian yang dipilih.

"Apa yang perlu diketahui oleh para pelajar adalah maklumat terperinci mengenai kursus yang ditawarkan, syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dan peluang kerjaya yang tersedia kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang ditawarkan," kata Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, ketika ini terdapat lebih 580,000 orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

Katanya matlamat kerajaan adalah untuk menyediakan pendidikan berkualiti di peringkat pra-sekolah, rendah dan menengah dan dengan ini akan dapat menyediakan para pelajar untuk menempa kejayaan yang lebih cemerlang di universiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan berjaya meningkatkan enrolmen pra-sekolah kepada 72.4 peratus.

Menurutnya, selain itu 85 peratus murid sekolah rendah berjaya menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi, 43 buah sekolah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi, dan 586 atau 7.6 peratus guru besar menerima ganjaran di bawah Bai'ah atau New Deal bagi pemimpin sekolah.

Katanya, negara juga berada pada landasan yang betul dalam usaha melonjakkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa apabila 212 program pengajian yang ditawarkan oleh IPTA tempatan mendapat pengiktirafan oleh badan-badan profesional antarabangsa.

Muhyiddin berkata, di samping itu IPTA dalam negara juga berjaya menarik minat tenaga akademik luar negara untuk berkhidmat di Malaysia, di mana 7.5 peratus daripada jumlah petugas akademik IPTA ketika ini adalah daripada kalangan petugas akademik antarabangsa, dan ini sekaligus membuktikan bahawa pendidikan tinggi dalam negara adalah bertaraf dunia.

Beliau berkata, terdapat 86,919 orang pelajar antarabangsa dari lebih 150 buah negara sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan sehingga Disember 2010, dan menurutnya ia adalah kayu ukur kejayaan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya menggesa agar usaha berterusan bagi memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa ditingkatkan, dan ini termasuk dengan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk membuat penyelidikan di IPT tempatan, khususnya di lima buah universiti penyelidikan dalam negara. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan