RON 97 Naik 20 Sen Tengah Malam Ini (Jumaat)

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Harga petrol RON 97 sekali lagi dinaikkan dan kali ini sebanyak 20 sen - menjadikan harganya RM2.70 seliter selepas tengah malam Jumaat.

Harga RON97 sekarang ialah RM2.50 seliter.

Kali terakhir ia dinaikkan ialah pada 4 Januari lalu iaitu sebanyak 10 sen. Sebelum itu ia telah pun mengalami kenaikan iaitu sebanyak 15 sen pada 1 Disember tahun lalu -menjadikan harganya mencecah paras RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari.

Bagaimanapun, harga minyak petrol RON 95 kekal pada paras RM1.90 seliter.

RON97 kini tidak lagi dikawal oleh kerajaan dan diapungkan mengikut harga pasaran. Walaupun ia tidak lagi di bawah kawalan kerajaan, namun kerajaan masih memberi subsidi antara 17 sen hingga 18 sen seliter.

Semalam (Khamis) dalam pertemuan dengan pengarang-pengarang kanan media, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga petrol RON95 pada waktu terdekat ini walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Katanya, tahun lalu sahaja jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk petrol dan diesel sahaja mencecah RM7.61 bilion.

Untuk tahun ini katanya, jumlah itu dianggarkan mencecah RM10 bilion dan mungkin akan naik kepada RM14 bilion seandainya kerajaan pertahankan harga RON95 pada paras sekarang untuk tempoh sepanjang tahun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan