Pembangkang Diberi Amaran Jangan Politikkan Kebakaran Di SK Long Tuma

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAWAS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) diselar kerana menjadikan kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah sekolah rendah di sini baru-baru ini sebagai isu politik.

Anggota Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata daripada mencari salah, pembangkang sepatutnya menghulurkan bantuan kepada sekolah itu.

"Kejadian ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana manusia tidak boleh meramalkan tragedi seperti kebakaran dan setakat ini, punca sebenar kebakaran belum dapat dipastikan lagi," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Henry berkata sehingga hari ini, tiada parti pembangkang yang tampil menghulurkan bantuan kepada sekolah berkenaan dan ini membuktikan bahawa mereka hanya pandai mengkritik kerajaan.

Isnin lepas, 107 pelajar terpaksa memendekkan sesi persekolahan mereka di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Tuma, kira-kira lima kilometer dari sini, apabila kebakaran memusnahkan bangunan asrama dua tingkat di sekolah itu yang diperbuat daripada papan.

Pengawai Pelajaran Daerah Matzinan Wahit dipetik sebagai berkata pelajar yang terjejas ditempatkan sementara di salah sebuah bilik darjah di sekolah itu.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian sebelum ini mendakwa kebakaran itu berpunca akibat pendawaian elektrik.

Baru, yang akan bertanding bagi kerusi DUN Ba'Kelalan, turut mendakwa sungguhpun guru besar sekolah telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan namun tiada sebarang tindakan yang diambil.

Henry berkata setakat ini, bantuan wang dan barangan bernilai lebih RM100,000 telah disumbangkan kepada sekolah itu oleh parti komponen BN, Badan Bukan Kerajaan dan syarikat korporat.

Sekolah itu mempunyai 346 pelajar dengan sebahagian besar daripadanya berasal dari beberapa kampung di Ba'Kelalan dan sebagai langkah sementara, mereka akan tinggal di kuarters guru yang kosong. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan