Meradong Kekal Sebagai Kerusi Sukar Diduga

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BINTANGOR: Meradong, sebuah kawasan pilihan raya di hilir Lembangan Rajang di sini, sekali lagi dijangka menjadi tumpuan berikutan persaingan yang membabitkan ramai calon dalam pilihan raya negeri akan datang.

Pada pilihan raya negeri 2006, Meradong yang terkenal dengan oren Bintangor dan tempat asal ahli perniagaan terkemuka suatu ketika dahulu, Tan Sri Ting Pek Khing, menyaksikan pertandingan lima penjuru, sekali gus mencatat rekod sebagai kerusi paling banyak ditandingi.

Meskipun perkara ini belum menjadi kenyataan, Meradong seringkali dilihat sebagai kerusi panas sejak 1996, dengan kemenangan sering bertukar tangan daripada sebuah parti ke parti lain, termasuk calon bebas.

Atas sebab inilah kawasan pilihan raya ini disebut-sebut sebagai sebuah kawasan yang sukar diduga.

Pada pilihan raya negeri 1996 itu, calon Barisan Nasional (BN) daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Thomas Hii King Hiong selaku penyandang, dikalahkan oleh calon bebas Yii Chu Lik.

Pada 2001, SUPP mengetengahkan ahli perniagaan terkemuka Datuk Ting Check Sii, yang pernah menguasai Sanyan Group, sebuah konglomerat terulung di negeri ini, dan berjaya menawan semula kerusi itu bagi BN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya negeri 2006, Ting tidak dicalonkan semula, sebaliknya SUPP meletakkan muka baru Wong Zee Yeng, ketika itu berusia 24 tahun, yang juga calon BN paling muda, dalam pertandingan lima penjuru.

Turut tidak mahu ketinggalan, DAP yang memenangi kerusi itu, mempertaruhkan seorang lagi calon muda, Ting Tze Fui, ketika itu berusia 25 tahun, dalam pertandingan yang digelar sebagai "pertarungan antara dua gadis muda."

Tiga nama lagi ialah calon Bebas Junat Jawek, Frederick Wong dan David Tiong Chiong Chu. Kedua-dua mereka Frederick Wong dan David Tiong yang juga seorang bekas wakil rakyat sebelum ini, merupakan orang kuat SUPP di kawasan itu.

Namun spekulasi kini memuncak bahawa kerusi Meradong akan menyaksikan persaingan yang jauh lebih besar dalam pilihan raya negeri 16 April ini apabila hampir 10 calon dijangka terbabit dalam pertandingan itu.

DAP kini bersedia mengekalkan Tze Fui untuk mempertahankan kerusi berkenaan namun rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), turut menyatakan minat untuk menyertai saingan.

SUPP, sebuah parti komponen BN, berdepan dilema di Meradong, yang diketuai Timbalan Presidennya Tan Sri Law Hieng Ding, memandangkan parti itu masih diselubungi pertelingkahan dalaman.

SUPP cawangan Meradong digantung selama dua tahun dan penggantungan itu hanya ditarik balik awal bulan lepas namun persengketaan masih kekal dalam cawangan parti itu.

Pertelingkahan seperti itu akan mengakibatkan beberapa pemimpin SUPP tempatan bertindak sendirian jika mereka tidak terpilih sebagai calon parti dalam pilihan raya negeri akan datang, mengulangi peristiwa pada pilihan raya negeri sebelum ini.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui enggan mendedahkan calon pilihan parti, namun berkata empat nama dipertimbangkan bagi kerusi itu, dan keputusannya akan diumumkan dalam dua atau tiga hari lagi.

Menurut sumber dalaman parti, lima bakal calon dipertimbangkan untuk mengibarkan bendera BN pada pilihan raya kali ini.

Mereka adalah Ketua Pemuda SUPP cawangan Bintangor Ting Sing Chuon, bekas Adun Meradong selama tiga penggal (1983-1996) Thomas Hii King Hiong, ahli perniagaan Ling Kie King, eksekutif kanan Peter Ling Kwong Hung dan ahli politik yang kurang dikenali Felician Teo.

Sing Chuon, jurutera awam yang mendapat latihan di Amerika Syarikat, adalah bendahari pusat Pemuda SUPP. Beliau merupakan anak saudara Check Sii.

Kie King, 52, bekas wartawan sebuah akhbar tempatan dan kini ahli perniagaan yang berpusat di Miri selain menjadi Pengerusi Persatuan Foochow Miri yang berasal dari sini, manakala Kwong Hung pula adalah naib pengerusi Majlis Daerah Meradong-Julau.

Teo, berkelulusan undang-undang dan bekas pengetua Kolej Damansara Utama (KDU) kampus Sibu, adalah anak lelaki bekas Adun Meradong, Anthony Teo. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan