Golongan Muda P. Pinang Akan Sokong BN - Berita Semasa | mStar

Golongan Muda P. Pinang Akan Sokong BN

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Pemuda Umno Pulau Pinang yakin dapat menarik golongan muda di negeri itu untuk menyokong Barisan Nasional (BN)pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Shaik Hussein Mydin berkata keyakinan itu berdasarkan maklumat balas yang diterima oleh pergerakan itu menerusi aktiviti kemasyarakatan dan juga program pendaftaran pengundi baru yang dilaksanakan sejak awal tahun.

"Pemuda Umno yakin kita mampu memberi tentangan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Shaik Hussein berkata maklumat balas yang diterima oleh pergerakan itu juga mendapati golongan pengundi muda telah bosan dengan kerajaan negeri yang banyak berpolitik daripada menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.

Beliau berkata, Pemuda Umno negeri menganjurkan aktiviti penerangan kepada rakyat bagi menjelaskan kenapa perlunya BN diberi mandat semula sebagai kerajaan negeri.

Shaik Hussein, yang dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang yang baru berkata, pergerakan itu juga akan menemui pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dan blogger bagi mendapat maklumat balas mengenai isu-isu politik semasa.

Shaik Hussein, Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan, menggantikan Norman Zahalan yang dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Umno negeri. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan