Kerusi Bukit Kota, Batu Danau Bakal Saksikan Pertembungan Lebih Dua Calon - Berita Semasa | mStar

Kerusi Bukit Kota, Batu Danau Bakal Saksikan Pertembungan Lebih Dua Calon

Diterbitkan: Khamis, 31 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LIMBANG: Bukit Kota dan Batu Danau, dua kerusi majoriti bumiputera di Limbang berkemungkinan menyaksikan pertandingan lebih daripada dua calon.

Dengan hari penamaan calon hanya tinggal seminggu sahaja lagi, bakal calon bagaimanapun perlu menunggu lama sedikit memandangkan borang pencalonan bagi kerusi Bukit Kota telah pun habis dijual.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Bukit Kota, Anyi Ngau berkata kesemua enam borang pencalonan yang disediakan bagi kerusi itu telah pun habis, dan ketika ini beliau masih menunggu ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuching untuk menghantar borang itu melalui pos.

Bagi kerusi Batu Danau yang terletak di luar bandar, RO Stephen Kalong Nanggang berkata empat borang pencalonan telah pun dijual.

Khabar angin bertiup kencang bahawa kerusi Batu Danau mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Dalam pilihan raya negeri 2006, kawasan pilihan raya baru itu yang merupakan majoriti Dayak dimenangi calon BN. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan