BAKTI Hulur Sumbangan RM2.5 juta Kepada Mangsa Tsunami Jepun

Diterbitkan: Khamis, 31 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menghulurkan bantuan kewangan RM2.5 juta kepada mangsa gempa bumi dan tsunami Jepun.

Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor, menyampaikan sumbangan itu kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini, Khamis.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertuanya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Sumbangan itu datang dari pelbagai pertubuhan seperti eCosway.com, 7-Eleven Malaysia dan Bermaz Motor Sdn Bhd yang masing-masing menyumbangkan RM301,300 manakala BAKTI menyumbang RM100,000.

Dalam ucapannya, Rosmah berkata beliau berharap bantuan itu dapat meringankan kesengsaraan mereka yang terbabit dalam bencana alam itu.

"Bakti akan terus menjadi penghubung antara penyumbang dan penerima dan akan terus berbuat demikian selagi mana ia diperlukan, dan selagi ia memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter menggegarkan Jepun pada 11 Mac lalu sehingga mencetuskan tsunami yang meragut 10,000 nyawa manakala 16,000 dilaporkan hilang.

Orang ramai terus bimbang mengenai radiasi nuklear berikutan loji nuklear Fukushima Daiichi rosak akibat bencana alam itu.

Sementara itu, Masahiko yang berucap dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang dihulurkan oleh BAKTI dalam membantu mengurangkan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Jepun.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas segala ucapan simpati takziah yang diberikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor kepada rakyat Jepun," katanya sambil melahirkan penghargaan kepada ahli BAKTI serta syarikat yang memberi sumbangan tersebut.

Masahiko berkata, beliau yakin Jepun dapat bangkit kembali selepas bencana itu.

"Rakyat Jepun telah dapat menghadapi pelbagai bencana dan kesukaran pada masa lalu. Saya percaya mereka dapat mengatasi kesukaran yang berlaku pada masa ini dengan sokongan dan semangat setiawan rakyat Malaysia yang tidak ternilai," katanya.

Rosmah kemudiannya menerima kunjungan hormat daripada 50 ahli Badan Amal dan Kasih Selangor (KASIH) yang diketuai oleh Naib Yang Dipertuanya, Prof Datin Seri Dr Aishah Salleh.

Kunjungan berkenaan dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan yang terjalin di antara KASIH dan BAKTI dan selain memberi fokus kepada perancangan aktiviti berbentuk kebajikan pada masa akan datang.

Rosmah adalah Yang Dipertua KASIH.

KASIH ialah sebuah pertubuhan badan amal dan kebajikan isteri-isteri wakil rakyat dan mantan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor yang ditubuhkan pada September 2009.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh KASIH ialah menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada warga emas, Orang Kelainan Upaya(OKU), ibu tunggal, pesakit kronik serta orang kurang berkemampuan di negeri Selangor.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan